Ular sawa batik seberat 80kg ditangkap pihak APM di Kampung Machang Bubok di sini hari ini.

BUKIT MERTAJAM –  Seekor ular sawa seberat 80 kilogram ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Seberang Perai Tengah (SPT) di Kampung Machang Bubok, di sini, hari ini.

Pegawai APM SPT, Kapten (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, reptilia sepanjang enam meter itu ditangkap selepas pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita pada jam 8.45 pagi tadi.

Mohd Fadhil Fahmi.

Jelas beliau, wanita itu mendakwa menemui ular sawa tersebut dalam keadaan sedang melingkar di kawasan semak samun belakang rumahnya ketika dia mahu membersihkan kawasan tersebut.

“Susulan panggilan itu, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menangkap reptilia terbabit.

Anggota APM menunjukkan ular sawa batik sepanjang enam meter yang ditangkap hari di Kampung Machang Bubok hari ini.

“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular berkenaan dan tidak berdepan sebarang masalah kerana ular sawa itu tidak agresif berikutan masih kekenyangan selain dalam fasa salin kulit,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ular itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Seberang Perai untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd Fadhil Fahmi turut menasihatkan orang ramai untuk menghubungi APM atau pasukan keselamatan untuk menangkap ular.

“Jangan cuba menangkap ular secara sendirian kerana boleh membahayakan nyawa sebaliknya perhatikan pergerakan haiwan itu sementara menunggu pasukan keselamatan tiba,” katanya.

Untuk rekod, tangkapan ular adalah kes tertinggi dikendalikan APM Machang Bubok pada bulan lalu iaitu sebanyak 108 kes. – MalaysiaGazette