GEORGE TOWN – “Terima kasih kepada pihak yang memberikan bantuan makanan ini jika tidak saya mungkin perlu berlapar sepanjang hari ini,” kata bekas pengawal keselamatan yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.
Menurut P. Arasan, 54, dia terpaksa hidup merempat sejak awal Januari lalu selepas diberhentikan kerja pertengahan tahun lalu.
“Keadaan lebih buruk apabila wang simpanan sebelum ini habis sehinggakan saya tidak mampu membayar sewa rumah di Greenland sekali gus terpaksa hidup merempat.
“Saya tinggal dengan orang gelandangan di tepi jalan untuk meneruskan kehidupan. Selain itu, makanan yang diperoleh akan dikongsi dengan rakan yang senasib dengan saya,” katanya sebaik menerima bungkusan makanan yang diagihkan Kariah Masjid Kapitan Keling (KMKK) di hadapan masjid di sini hari ini.
Terdahulu, KMKK mengagihkan sebanyak 500 bungkus nasi beriani ayam kepada golongan memerlukan yang terjejas akibat Covid-19 tanpa mengira bangsa.
Hadir sama, Pengerusi Masjid Kapitan Keling, Faruk Raja Mohamed.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kariah Masjid Kapitan Keling, Datuk Mohamed Aswan Seeni Mohamed Nizalath berkata, inisiatif ini diambil bagi membantu golongan yang terkesan akibat Covid-19 menikmati makanan enak seperti orang lain.
Jelas beliau, projek makanan percuma ini akan dilakukan secara berterusan pada setiap hari Jumaat dan masjid Kapitan Keling akan digunakan sebagai platform lokasi agihan.
“Ini merupakan kali pertama kami agihkan makanan untuk mereka yang terkesan akibat Covid-19 dan berdasarkan sambutan yang memberangsangkan kita akan teruskan projek ini.
“Kita harap ada ahli perniagaan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan turut serta berikan sumbangan untuk menjayakan projek ini,” katanya kepada pemberita.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Aswan berkata, pihak masjid turut menyediakan gerobok barangan keperluan asas bagi mereka yang memerlukan. – MalaysiaGazette