Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini tampil memberi penjelasan berhubung isu tular di media sosial, berkenaan seorang pesakit yang dirawat di atas lantai di Jabatan Kecemasan dan Trauma, baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Dr Heric Corray berkata, pesakit itu dibawa ke unit berkenaan sebelum secara tiba-tiba berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, dan tiada denyutan serta tidak bernafas.

“Bagaimanapun ketika itu, semua katil telah digunakan dan hanya lantai yang mempunyai permukaan rata yang terbaik, maka CPR (Cardio-Respiratory Resuscitation) dilakukan serta merta. Bagaimanapun pesakit tidak dapat diselamatkan.

“Oleh kerana sebab kematian tidak dapat dikenal pasti, jenazah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat (post mortem) dan kini menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang doktor yang dipercayai berkhidmat di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL mendedahkan, bahawa mereka sebenarnya sudah tidak mampu untuk menampung pesakit baharu di hospital itu.

Dr Heric tidak menafikan bahawa penggunaan katil di HKL pada masa ini adalah meningkat, berikutan terdapat pertambahan penerimaan kes COVID-19 dengan kebanyakan kes adalah tahap empat, namun perancangan terhadap pengurusan katil sentiasa diteliti, dengan penggunaannya hanyalah mengikut keperluan semasa.

Menurutnya pada masa yang sama HKL juga telah menangguhkan kes-kes pembedahan elektif sejak Disember tahun lepas, bagi memberi keutamaan kepada kes-kes kecemasan yang lebih memerlukan penggunaan katil.

Menyentuh laporan tentang kekangan kapasiti katil serta petugas di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, jelasnya penggunaan katil di unit itu pada masa ini adalah berada di tahap sangat tinggi, namun alat perubatan seperti oksigen, katil dan lain-lain sentiasa berada di dalam perancangan.

“Selain itu, tenaga kerja di ICU turut dibantu oleh petugas yang juga merupakan kakitangan yang bertugas di wad-wad biasa, serta klinik di HKL,” katanya.

Sementara itu berhubung isu bekalan oksigen di wad pula, beliau berkata ketika ini bekalan oksigen sama ada jenis piping atau silinder masih di tahap yang mencukupi.

Katanya HKL sentiasa menyusuli syarikat pembekal, bagi memastikan proses bekalan sentiasa di tahap optima bagi keperluan oksigen di wad-wad HKL.

“Sekiranya terdapat keperluan bekalan oksigen yang tinggi pada satu-satu masa, bekalan tersebut akan diambil daripada wad yang kurang penggunaannya, dan digunakan di wad yang lebih memerlukan,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast