Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) didakwa akan mengubah semula sistem pengedaran benih padi kepada sistem lama.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) didakwa akan mengubah semula sistem pengedaran benih padi kepada sistem lama.

Pengerusi Pertubuhan Persaudara Pesawah Malaysia (PeSawah) Muhamad Fuad Yaacob berkata, beberapa syarikat berkepentingan termasuk pengeluar benih diberikan lesen untuk menjadi pemborong dan mereka nanti akan melantik ejen masing-masing sama seperti sebelum ini.

“Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa sistem pengedaran benih padi akan diubah sekali lagi. Sejak Disember 2020, kerajaan telah bertindak melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pengedar benih tunggal dengan harga RM35 untuk satu beg benih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengedaran benih dibuat sepenuhnya melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk menghapuskan orang tengah yang mengeksploitasi pasaran.

“Belum pun sampai musim seterusnya, IPB, MAFI dikatakan akan mengubah semula sistem pengedaran benih ini kepada sistem lama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhamad Fuad berkata, pihaknya mendapati sememangnya ada kelewatan oleh NAFAS untuk menghantar benih padi sah memandangkan agensi itu diminta oleh IPB dan MAFI secara adhoc tanpa ada diberi masa yang mencukupi sebagai persediaan baginya.

Katanya, sejak mula lagi PeSawah berpandangan sistem pengedaran NAFAS perlu dilaksanakan secara berperingkat dan bukannya dengan secara mengejut.

Bagaimapaun, hakikatnya pengedaran telah selesai dan NAFAS telah berjaya mengurangkan permasalahan berkenana sehingga berakhirnya musim ini, katanya.

“Melalui penelitian kami, tidak adil disalahkan NAFAS semata-mata atas kelewatan dan isu kualiti benih yang berlaku kerana semua kuota pembekal benih padi dan kelulusan benih
adalah ditetapkan oleh IPB dan Jabatan Pertanian. Punca kelewatan adalah daripada pembekal yang diberikan kuota oleh IPB dan kelewatan kelulusan

“Kami mendapat maklumat daripada data yang diberikan oleh PPK-PPK melalui tempahan benih bahawa, sebenarnya kuota biji benih padi sah untuk semusim sebenarnya 28,000 MT (Metrik Tan) sahaja dan bukannya 36,000 MT yang selalunya sebelum ini dibuat tuntutan oleh pengeluar. Maknanya selama ini mungkin ada ketirisan sebanyak 8,000 MT semusim,” ujarnya.

Tambah beliau, selepas pelantikan 12 syarikat pemborong yang baru untuk menjadi pengedar akan datang, peranan PPK sebagai agen tidak diperlukan lagi memandangkan syarikat boleh melantik agennya sendiri.

Justeru, pihaknya bimbang keadaan akan kembali seperti sebelum ini dimana berlaku kegiatan sorok, eksploitasi bekalan dan kenaikan harga oleh kartel-kartel benih padi.

“Perlu diingatkan bahawa NAFAS adalah wakil kepada PPK yang mana keahlian NAFAS adalah melalui ahli-ahli berdaftar PPK sekaligus perniagaan NAFAS adalah demi kebaikan petani juga selagimana ia dilaksanakan dengan amanah dan telus.

“Kami berpandangan NAFAS wajar dikekalkan untuk menyambung tugas sebagai pengedar tunggal benih padi selagimana tidak ada perubahan dalam sistem subsidi benih padi kepada sistem terbuka melalui kupon yang lebih baik, bukan kembali seperti sistem pengedaran lama,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau utk kartel2 besar, kena sekurang2nya 2 3 musim baru boleh ukur prestasi. Tp kalau persatuan peladang kita punya, tak sempat habisbsemusim terus nak cantas. Tadak can punnya broo. Terdesak sungguh taukey2 kartel ya?

Comments are closed.