Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

KUALA LUMPUR – Pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 diingatkan supaya mempersiapkan diri dengan kemahiran insaniah dan teknologi digital sekiranya berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata golongan itu perlu mengoptimumkan tempoh waktu ketika bergelar mahasiswa untuk menguasai seberapa banyak kemahiran yang bermanfaat kepada mereka.

Beliau berkata, selain akademik, pelajar digalakkan untuk mengikuti aktiviti yang memberi nilai tambah kepada diri seperti kemahiran insaniah menerusi pembabitan dalam persatuan, kelab di universiti serta kemahiran teknologi digital.

“Dalam dunia VUCA yang merujuk volatile (bergejolak), uncertain (tidak pasti), complex (kompleks) dan ambiguity (tidak jelas) ini, mahasiswa perlu melengkapkan diri melangkaui kecemerlangan akademik, jika tidak mereka akan ketinggalan.

“Alam pekerjaan kini bersifat lebih dinamik, justeru penguasaan terhadap kemahiran bidang digital dan insaniah dilihat sebagai kelebihan yang mesti ada pada mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bersempena dengan pengumuman keputusan STPM 2020 yang dikeluarkan semalam.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan, mengatakan calon boleh mendapatkan keputusannya mulai tengah hari ini di http://stpm.mpm.edu.my/stpmK.

Pada masa sama, Mohammad Shatar turut mengingatkan lepasan STPM 2020 tidak begitu ghairah dengan pelbagai jenis tawaran yang mereka peroleh daripada institusi pengajian tinggi (IPT), sebaliknya perlu menyemak terlebih dahulu akreditasi program berkenaan.

Katanya, jangan mudah terpedaya dengan janji ‘bulan bintang’ sesetengah IPT kerana kini ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menipu menggunakan penawaran program pengajian tinggi.

“Beri perhatian serius terhadap program yang bakal diikuti, pastikan ia telah mendapat akreditasi daripada MQA (sekiranya IPT tempatan).

“Boleh semak di laman sesawang rasmi MQA iaitu www.mqa.gov.my menerusi Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) atau melalui aplikasi MyMQR kerana kita tidak mahu pelaburan wang ringgit dan masa yang dibuat pelajar menjadi sia-sia mengikuti program tidak diiktiraf,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast