The Malaysian Armed Forces (MAF) installing wire-barbed fence to control the entry and exit at Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur, following the Enhanced Movement Control Order (EMCO) from 1-14 July. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 01 JULY 2021 EMCO Selangor KL
Kerja pemasangan kawat berduri di kawasan PKPD akan bermula tengah malam esok.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Bagus, Rantau Panjang di Kelantan dikenakan sekatan pergerakan bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu ini berikutan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan itu.

Ini dimaklumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di kampung itu, hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM melakukan saringan, menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

Ismail Sabri Yaakob

“Sehingga kini, KKM telah melakukan 47 ujian saringan dan 23 penduduk di lokaliti tersebut disahkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 48,90 peratus.

“Pada masa sama, KKM mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Bagus berkuat kuasa 7 sehingga 20 Julai ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga akan mengenakan PKPD di Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas, Tawau Sabah selama dua minggu mulai 7 hingga 20 Julai ini, selepas mendapati sembilan daripada 14 penduduk disahkan positif.

Kata beliau, SOP bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawan MKN di www.mkn.gov.my.

Sementara itu, kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD Penjara Sungai Udang, kecuali Kuarters Penjara, Melaka Tengah untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 20 Julai ini.

Ini kerana, 842 daripada 1,702 ujian saringan yang dilakukan, disahkan positif Covid-19 dan penularan masih berlaku dalam komuniti apabila terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut, selain masih banyak sampel ujian menunggu keputusan.

Turut dilanjutkan tempoh PKPD ialah Kampung Ejuk, Kota Belud, Sabah; Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, Jalan Sibu-Mukah, Mukah, Sarawak; dan Kampung Warisan, Kota Kinabalu, Sabah.

Antara lokaliti yang ditamatkan PKPD bermula tengah malam ini ialah Kilang Sawit Cahaya Muda, Batang Padang, Perak; Blok 11, Kampung Titingan, Tawau, Sabah; Batu 7 Jalan Tinagat, Tawau, Sabah; Rumah Panjang Alat anak Mukan dan Kuarters Pekerja Mukah Palm Oil Mill di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak.

Turut ditamatkan ialah sembilan Rumah Panjang Sungai Rassau, Batang Igan, Mukah, Sarawak, yang sepatutnya dijadualkan tamat pada 16 Julai ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast