Dua kampung masyarakat Orang Asli di Rompin, Pahang akan diletakkan dalam pengawasan PKPD mulai Khamis ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Wabak Covid-19 mula menular dalam kalangan masyarakat Orang Asli apabila  berlaku peningkatan kes di dua perkampungan iaitu Kampung Kerpal dan Kampung Pinang di Rompin, Pahang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam tempoh seminggu, sebanyak enam kes positif telah direkodkan hasil daripada 120 ujian saringan yang dilakukan di kedua-dua lokaliti tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kampung itu berkuatkuasa 8 hingga 21 Julai ini.

Senior Minister of Defence, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob at a news conference after a visit to the Vaccination Centre at World Trade Centre Kuala Lumpur. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 01 JULY 2021
Ismail Sabri Yaakob.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM (Kementerian Kesihatan) melaksanakan pengesanan awal kes serta memastikan penduduk berisiko dijangkiti kekal berada dalam kawasan PKPD bagi mengelakkan penularan jangkitan keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Ismail Sabri, turut diletakkan bawah PKPD ini ialah Kampung Sri Menanti, Tawau, Sabah yang mana KKM melaporkan terdapat peningkatan kes ketara dengan 15 kes positif telah direkodkan hasil daripada 36 ujian saringan dilakukan dengan kadar positiviti 41.67 peratus.

Selain itu, menurutnya, perluasan lokaliti PKPD Perkampungan Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah melibatkan gugusan beberapa kampung iaitu Kampung Kasuapan, Lok Urai, Pulau Gaya dan Kampung Pondo.

Kata beliau, KKM melaporkan terdapat peningkatan kes yang ketara di perkampungan itu, di mana 215 kes positif telah direkodkan hasil daripada 1,339 ujian saringan yang dilakukan dengan 25 sampel saringan masih menunggu keputusan.

Turut dikenakan PKPD selama dua minggu ialah Kampung Mambong, Kuching, Sarawak yang dilaporkan berlaku peningkatan kes ketara dengan 19 kes positif direkodkan dari 36 ujian saringan.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan awal PKPD Kampung Kuala Merotai, Kalabakan, Sabah daripada 9 Julai yang dijadualkan kepada 7 Julai ini.

“KKM telah melakukan 133 ujian saringan dan 18 daripadanya disahkan positif Covid-19 dan terdapat juga penurunan kes dengan kluster terkawal, manakala kes positif terakhir yang direkodkan adalah pada 3 Julai lalu iaitu satu kes sahaja.

“Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di kampung ini pada 7 Julai ini, lebih awal dari yang dijadualkan,” katanya.

Turut ditamatkan PKPD ialah dua lokaliti di Kunak, Sabah iaitu Kampung JKR Lama dan Kampung Pangi Hujung.

Selain itu, dua lagi lokaliti ditamatkan mulai esok ialah Kampung Kebayau, Kota Belud dan Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast