KUALA LUMPUR –  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat bagi generasi.

Kata Muhyiddin, pelupusan bersyarat merangkumi pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM8.0 bilion yang memberi manfaat kepada 92,441 peneroka daripada 112,638 orang.

Jelasnya, pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM168 juta melibatkan 52,180 peneroka atau 46 peratus warga peneroka.

“Kerajaan bersetuju untuk pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga Julai tahun ini bernilai RM78 juta yang melibatkan 38,043 peneroka.

“Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM56 juta, yang akan dinikmati 6,711 orang peneroka.

“Inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat ini yang juga cadangan FELDA bagi generasi awal yang telah berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah ini dijayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas Sambutan Hari Peneroka Felda 2021 Peringkat Kebangsaan hari ini yang bertemakan ‘Anjakan Minda Peneroka’.

Sambung Muhyiddin lagi, dengan inisiatif ini bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

“Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya antara RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit.

“Manakala serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka.

“Saya berharap dengan usaha yang diambil ini, ia akan menjadi titik tolak atau ‘reset button’ untuk warga peneroka di seluruh negara menjadi lebih bersemangat dan lebih fokus dalam melipatgandakan hasil serta pendapatan mereka.

Ini sekaligus bakal mengupayakan pengurusan kewangan termasuk pinjaman mereka dengan lebih berhemat dan tidak lagi membebankan pada masa depan,” ujarnya.

Muhyiddin melahirkan harapan tinggi dengan perjanjian baharu yang akan ditandatangani oleh peneroka akan lebih komited dan sama-sama memikul tanggungjawab meningkatkan produktiviti, seterusnya menjamin kelestarian FELDA. -MalaysiaGazette