MULAI 7 Julai para peminjam boleh memohon kemudahan moratorium untuk tempoh
enam bulan yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan melalui Pakej Perlindungan
Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). Langkah kerajaan menyediakan
kemudahan ini secara automatik kepada semua peminjam dilihat boleh membantu
kelangsungan hidup sebahagian besar anggota masyarakat yang terjejas teruk akibat
serangan pandemik COVID-19 serta pelaksanaan pelbagai fasa Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP).
Penulis yakin majoriti peminjam terutamanya dari kalangan golongan berpendapatan
rendah (B40) dan sederhana (M40) akan memohon untuk mendapatkan kemudahan
moratorium ini dari bank masing-masing. Kedudukan kewangan yang terlalu
mendesak menyebabkan golongan ini umpama tiada pilihan selain terpaksa
mengambil juga moratorium ini walaupun sedar ianya akan meningkatkan kos
peminjaman serta memanjangkan tempoh bayaran balik. Bank Negara Malaysia
(BNM) sendiri telah mengingatkan semua peminjam bahawa faedah dan keuntungan
ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh akan terus diambil kira oleh bank.
Pada masa yang sama, kita juga berharap agar bantuan ini juga dapat mengurangkan tahap tekanan yang dihadapi oleh rakyat sehingga membawa kepada kemurungan yang serius. Malah peningkatan kes bunuh diri sejak kebelakangan ini juga banyak dikaitkan dengan kedudukan kewangan mangsa.
Justeru para peminjam perlu bijak mengurus dan manfaatkan moratorium selama enam bulan yang bakal diperolehi ini sebaik yang mungkin. Secara prinsipnya enam bulan adalah suatu tempoh yang panjang dan peminjam dapat menikmati wang tunai yang lebih di tangan untuk perbelanjaan diri dan seisi keluarga. Oleh itu peminjam perlu merancang dari sekarang bagaimana hendak menggunakan lebihan tunai di tangan itu agar dapat mengharungi tempoh sukar ini dengan lebih tenang dan terurus.
Oleh kerana kita sudah tidak perlu merisaukan hutang yang perlu dibayar balik kepada bank, maka inilah masanya untuk kita merancang bagaimana untuk pulih dari impak ekonomi dan sosial yang dicetuskan oleh pandemik.
Misalnya, bagi yang berniaga dan bekerja sendiri inilah masanya untuk mengumpul
modal bagi memulihkan semula perniagaan dan aktiviti ekonomi masing-masing demi kelangsungan hidup pasca pandemik. Kita perlu merancang dari sekarang apa hala tuju kedudukan ekonomi kita selepas berakhirnya tempoh moratorium enam bulan agar kita akan dapat menjana pendapatan yang tetap kelak. Dengan tunai yang ada kita wajar merancang sama ada meneruskan perniagaan yang sedia ada mahupun meneroka peluang perniagaan lain termasuk menggunakan platform e-dagang yang kian menjadi pilihan utama pengguna.
Manakala bagi yang masih bekerja dan dapat menikmati gaji bulanan seperti biasa
termasuk golongan penjawat awam yang mungkin kurang terjejas ketika serangan
wabak, inilah masanya untuk menggandakan penyimpanan dan pelaburan demi
masa hadapan. Kita perlu bijak menggunakan lebihan tunai ini untuk melabur dan
menikmati pulangan yang lebih baik kelak.
Sesungguhnya lebihan tunai ini bukanlah datang dengan percuma sebaliknya ianya
merupakan sebahagian daripada duit pinjaman kita sendiri yang perlu dibayar balik
kepada bank setelah tamat tempoh moratorium. Jadi apa jua tindakan kita yang sia-
sia seperti berbelanja sakan serta boros dengan lebihan tunai ini adalah satu perbuatan yang bakal merugikan kita sendiri.
Pada masa yang sama, bagi golongan yang tidak terkesan serta masih mampu meneruskan kehidupan seperti biasa eloklah tidak mengambil kemudahan moratorium ini agar tidak menganggu jadual dan kos pembayaran balik pinjaman.
Ironinya, moratorium adalah satu bentuk kemudahan yang diberikan secara pilihan
dan kita mempunyai hak untuk membuat pilihan tersebut mengikut keperluan masing-masing. Justeru kita perlu bijak membuat pilihan agar tidak menyesal kelak
dan manfaatkanlah kemudahan moratorium.