LONDON – Penantian selama 55 tahun sudah berakhir!
Budak England kini berada di pentas final buat kali pertama sejak 1966 selepas kemenangan bergaya 2-1 ke pada masa tambahan di separuh akhir Kejohanan Piala Euro 2020 di Wembley awal pagi tadi.
Bekas pemain dan pemerhati skuad kebangsaan Three Lions menyanjung tinggi skuad kendalian Gareth Southgate selepas mereka mengakhiri badi lima dekad untuk mara ke perlawanan akhir termasya terbesar.
Bekas pemain tengah England Karen Carney yang merupakan pengulas Radio 5 BBC berkata senario atas padang selepas perlawanan adalah magis.
“England menyertai kejohanan kali ini dengan semangat juang dan keyakinan tinggi namun melangkah ke perlawanan akhir adalah satu kejutan besar.
“Ini bukan sekadar pasukan tetapi satu keluarga utuh yang mengejar impian (Piala Euro)…bulu roma tangan pun naik kerana sukar menerima kejutan gembira ini.
“Kami tak pasti adakah momen ini akan berulang lagi selepas ini,..sudah pasti tidak boleh membayangkannya lagi,” katanya.
Manakala seorang lagi bekas pemain England Gary Neville pula berkata, sepanjang karier bolasepaknya dia dan rakan sepasukannya tidak berpeluang melakukan pencapaian seperti ini.
“Selepas luka demi luka selama lima dekad, akhirnya kita berada di perlawanan akhir..sesuatu keajaiban menanti rakyat England pada final Euro 2020 nanti,” ujarnya.-MalaysiaGazette