KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh pada separuh pertama tahun ini yang dilakukan dalam usaha melandaikan keluk jangkitan Covid-19 menyebabkan sektor ekonomi dijangka berdepan cabaran dalam mengekalkan momentum pemulihan.

Manakala industri berkaitan pelancongan akan terus terkesan.

Kes jangkitan baharu harian yang berterusan melebihi 6,000 kes menjelang akhir Jun 2021, PKP Diperketatkan (PKPD) telah dilaksanakan di beberapa lokaliti tertentu di Kuala Lumpur dan Selangor bermula 3 hingga 16 Julai dan seterusnya bagi mengurangkan peningkatan kes baharu di kawasan-kawasan tersebut.

Oleh itu, pasaran buruh berkemungkinan akan berdepan dengan situasi yang tidak menentu pada bulan-bulan berikutnya bergantung kepada kedudukan situasi pandemik.

Kadar pengangguran pada Mei 2021 menurun sedikit berbanding April kepada 4.5 peratus atau 728,100 orang (April 2021: 742.7 ribu orang) dengan trend penurunan sejak Februari 2021.

Pada Mei tahun lalu, negara merekodkan kadar pengangguran bulanan tertinggi iaitu sebanyak 5.3 peratus dengan 826,100 orang penganggur.

Oleh itu, perbandingan dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya, bilangan penganggur adalah lebih rendah namun masih melebihi 500,000 orang penganggur yang direkodkan ketika tempoh sebelum pandemik.

Pada awal Mei 2021, kebanyakan negeri berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan Pemulihan di mana perniagaan masih terus
beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Mulai 6 Mei 2021, beberapa negeri telah diletakkan di bawah fasa PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19; iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak.

Sebelum itu, Kelantan telah berada dalam fasa PKP sejak akhir April 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir MAhidin berkata, walaupun langkah lebih ketat dilaksanakan di negeri-negeri tersebut, semua aktiviti
ekonomi termasuk perniagaan kecil dan bazar masih dibenarkan beroperasi dengan pematuhan kepada SOP yang ketat.

Menjelaskan mengenai situasi penduduk bekerja pada bulan tersebut, beliau berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat secara marginal
sebanyak 0.1 peratus kepada 15.37 juta orang (April 2021: 15.35 juta orang).

Nisbah guna tenaga kepada penduduk tidak berubah iaitu pada 65.4 peratus.

Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong & runcit; perkhidmatan makanan dan minuman; dan kesihatan kemanusiaan & kerja sosial.

Bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan juga terus mencatatkan pertumbuhan positif bagi tempoh tujuh bulan. ‘\

Sementara itu, penduduk bekerja dalam sektor pembinaan, pertanian dan perlombongan & pengkuarian menurun.

Melihat kepada taraf pekerjaan, kategori pekerja yang terdiri daripada komposisi terbesar penduduk bekerja iaitu sebanyak 77.9 peratus, bertambah sebanyak
0.6 peratus bulan ke bulan kepada 11.98 juta orang (April 2021: 11.96 juta orang).

Begitu juga, penduduk bekerja sendiri mencatatkan peningkatan sebanyak 2,400 orang kepada 2.49 juta orang pada Mei 2021.

Pertambahan penduduk bekerja dalam kategori ini sebahagiannya adalah disebabkan oleh kebenaran sektor ekonomi untuk meneruskan perniagaan ketika tempoh PKP bagi memastikan kelangsungan perniagaan kecil.

Bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu pada bulan Mei mencatatkan peningkatan sebanyak 23,600 orang,
merekodkan 139,600 orang berbanding bulan sebelumnya (April 2021: 116.0 ribu orang).

Katanya, dari segi kedudukan tenaga buruh pada Mei 2021, bilangan tenaga buruh adalah sebanyak 16.10 juta orang (April 2021: 16.09 juta orang) merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada 68.5 peratus (April 2021: 68.6%). – MalaysiaGazette