Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Selain isu-isu berbangkit yang mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin membelakangkan UMNO, keputusan parti itu menarik sokongan terhadap perdana menteri selepas berpandangan Muhyiddin gagal untuk memenuhi aspirasi rakyat, yang ditetapkan UMNO dalam dua garis panduan utama untuk terus menyokong beliau sebagai perdana menteri.

Ketetapan garis panduan itu telah dikemukakan kepada Muhyiddin pada 11 Mac 2020, 10 hari selepas beliau dilantik, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki.

Dua garis panduan itu ialah kerajaan perlu memenuhi aspirasi rakyat dan ada pelan berkesan tangani pandemik Covid-19.

Menurut beliau, MKT memberikan alasan berpandukan tujuh perkara yang menunjukkan kegagalan perdana menteri menangani Pandemik Covid-19, sekali gus gagal memenuhi harapan dan tuntutan rakyat.

”Dalam tempoh 38 hari semenjak total lockdown diumumkan PM yang separa masak (rakyat dikurung; tauke kilang dijunjung) hanya menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada lebih 5,768 korban.

”Dalam tempoh 175 hari semenjak darurat yang kononnya untuk tangani Covid-19 diproklamasikan, daripada 578 kematian (14 Januari 2021) meningkat 10 kali ganda kepada 5,768 pada 7 Julai 2021.

”Tuntutan UMNO bagi pihak rakyat dalam isu moratorium tanpa caj terakru, dasar moratorium untuk diperluaskan kepada agensi-agensi kredit lain samaada di bawah kerajaan seperti LPPSA mahupun swasta, i-Sinar, i-Citra tidak diendahkan,” tambah beliau lagi.

Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terjawab selepas darurat tamat pada 1 Ogos ini sebagaimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah manakala Parlimen yang akan bersidang akan menentukan secara sah sama ada perdana menteri masih mempunyai majoriti atau sebaliknya.

Katanya, memandangkan keadaan tidak mengizinkan untuk diadakan pilihan raya umum (PRU), seorang perdana menteri yang bakal dicadangkan kelak untuk menggantikan Muhyiddin hanya berfungsi untuk satu tempoh terhad antara enam bulan ke setahun bergantung kepada keadaan Covid-19 terutamanya aspek vaksinasi dan imunisasi.

Sekiranya sudah mencapai tahap imunisasi berkelompok 80 hingga 90%, maka rakyat dalam keadaan selamat untuk diadakan PRU.

“Selagi kerajaan tidak mendapat mandat sebenar rakyat selagi itulah tahap keyakinan dan kepercayaan pelabur untuk melabur di Malaysia tidak akan tercapai.

“Sedangkan negara memerlukan pelabur sebenar yang masuk untuk tempoh masa panjang yang mampu mencipta perkerjaan dan menjana ekonomi bukannya hanya di pasaran modal yang bersifat jangka pendek.

“Pelabur seperti ini hanya melabur dalam ekonomi yang mempunyaim sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil,” katanya.

Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah menyatakan tidak mahu dicalonkan sebagai perdana menteri kerana mahu menumpukan kepada membersihkan namanya di mahkamah dan akan mencadangkan beberapa nama yang akan diputuskan oleh MKT UMNO.

Lagipun UMNO tidak ketandusan pemimpina-pemimpin termasuklah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan ramai lagi yang mempunyai pengalaman luas sebagai anggota pentadbiran zaman Barisan Nasional (BN).

Asyraf turut menegaskan, keputusan MKT malam tadi juga mengekalkan pendirian Perhimpunan Agong UMNO untuk tidak sesekali akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri mahupun menyokong kerajaan yang ditunjangi Pakatan Harapan-DAP. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.