KLUANG – Seorang lelaki dipercayai membunuh diri dengan terjun dari tingkat lapan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang kira-kira jam 3.45 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng yang mengesahkan kejadian itu berkata, ketika kejadian lelaki berusia 55 tahun itu sedang menunggu proses keluar wad dari hospital berkenaan.

“Mangsa telah masuk ke wad pada 5 Julai lalu kerana menghidap masalah ulser usus dan telah menjalani pembedahan pada hari yang sama.

“Hasil siasatan mendapati ketika kejadian itu, mangsa telah masuk ke tandas serta memecahkan cermin tingkap tandas sebelum terjun melalui ruang tingkap yang telah dipecahkan itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Mangsa difahamkan meninggal dunia ditempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke unit forensik hospital itu untuk dibedah siasat.

Punca kematian masih dalam siasatan.

Petang tadi tular satu video seorang lelaki tua mati di tempat kejadian kerana cubaan membunuh diri. – MalaysiaGazette