Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis telah selesai mengambil keterangan daripada tujuh individu dalam siasatan kes berhubung suntikan vaksin menggunakan picagari kosong di Hospital Banting, Kuala Langat dalam kejadian awal minggu ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, seorang lelaki tempatan yang mengadu kononnya disuntik vaksin picagari kosong merupakan antara individu yang telah dipanggil dan diambil keterangan oleh pegawai penyiasat kes tersebut.

“Setakat ini tujuh orang telah dirakam percakapan yang mana mereka terdiri daripada pengadu, pemberi vaksin serta pembantunya dan juga saksi kakitangan yang lain di hospital itu.

“Bagaimanapun, tinggal seorang lagi kakitangan kesihatan dari hospital berkenaan yang belum selesai dirakam keterangan.

BACA : Polis siasat dakwaan individu terima suntikan picagari kosong masa vaksinasi  

Suntik picagari kosong, Putra gesa tubuh jawatankuasa khas

“Mengikut pegawai penyiasat kes berkenaan, temu janji proses mengambil keterangan daripada kakitangan malam ini dan dijangka selesai malam ini juga ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, kertas siastan akan dilengkapkan pada minggu depan.

Ujar beliau, kertas siasatan lengkap itu akan dirujuk ke bahagian perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Iibu Pejabat Kontinjen Selangor.

Dalam kenyataan pada 7 Julai lalu,  Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya menerima satu laporan pada jam 6.21 petang, 6 Julai 2021 mengenainya insiden itu dan siasatan sedang dilakukan.

Katanya, dalam laporan itu, lelaki berkenaan mendakwa dakwa picagari yang disuntik adalah kosong dan jarum tidak ditekan pada tubuhnya.

Kejadian itu diketahuinya selepas melihat semula rakaman video menerusi telefon bimbit. – MalaysiaGazette