Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mendakwa menerima suntikan vaksin Covid-19 daripada picagari kosong di Hospital Banting, Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, pihaknya menerima satu laporan pukul 6. 21 petang semalam mengenainya dan siasatan sedang dilakukan.

“Pihak kami telah membuka kertas inkuiri polis dan sedang menyiasat lanjut aduan individu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan polis tersebut, lelaki itu mendakwa dirinya disuntik menggunakan picagari kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) selepas menonton semula video yang dirakamnya semasa pemberian vaksinasi berkenaan.

Lelaki itu mendakwa selepas menerima vaksin, dia melihat semula video yang dirakam di telefon bimbitnya dan mendakwa picagari yang disuntik adalah kosong dan jarum tidak ditekan pada tubuhnya.

“Dia berasa sangsi kembali kepada petugas KKM berkenaan untuk mendapatkan kepastian dan menunjukkan video tersebut dan mendakwa petugas berkenaan memarahinya dan memintanya memadamkan video berkenaan selepas memberinya suntikan sekali lagi,” kata Ahmad Ridhwan.- MalaysiaGazette