Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat , Datuk Seri Rina Mohd Harun menyampaikan bantuan kepada artis Orang Kurang Upaya (OKU) yang merupakan ahli Kumpulan Caliph Buskers Fendy Adlun di kediamannya di Bayu Sentul Kondminium, Kuala Lumpur. Foto Hafiz Sohaimi 10 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita keluarga dan Masyarakat akan memastikan anggota kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun akan mendapat sebuah rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan segera.

Komitmen itu dinyatakan oleh Datuk Seri Rina Harun selepas melawat Fendy dan anaknya hari ini.

Malah, menteri itu memberitahu, beliau sendiri akan menguruskan permohonan tersebut.

“Dia sudah tiga bulan duduk di kondominium berkenaan dengan kadar sewa bulanan RM1,300 dan sudah pasti ia sangat membebankan kerana beliau menggunakan duit simpanannya untuk menampung sewa dan segala keperluan asas makanan/

“Maka kementerian menyedari wujud keperluan dengan kadar segera supaya Fendy yang terbeban dengan sewa rumah yang tinggi dibantu,” katanya ketika ditemui di kediaman artis pemain drum baskers itu di Taman Datuk Senu, Sentul di sini pagi ini.

Rina meluangkan masa kira-kira 45 minit menziarah Fendy dan anaknya, Nur Azalea Zafirah, 6 tahun.

Turut sama menyertai lawatan itu ialah Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya.

Kehidupan Fendy, 30, pemain drum Caliph Buskers yang cacat penglihatan terjejas dari segi punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Selain menghulurkan bakul makanan untuk Fendy, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan meluluskan bantuan kewangan RM500 sebulan untuk tiga bulan berturut-turut menerusi Pakej Rangsangan Pemulihan Negara yang diumumkan khas untuk Orang Kelainan Upaya.

Rina berkata, Fendy sebelum ini telah menerima elaun pekerja cacat ( EPC) di bawah JKM tapi sejak tahun 2019 bantuan sebanyak RM450 tidak diteruskan lagi kerana dia memperoleh pendapatan lebih daripada sepatutnya, hasil persembahan kumpulannya.

Dalam pada itu, Rina memberi jaminan kerajaan tidak akan meminggirkan masyarakat khususnya OKU dan akan terus membela nasib mereka sewaktu pandemik.

“Kita akan meminta sukarelawan JKM datang meninjau keadaannya dari semasa ke semasa supaya kelangsungan hidup Fendy bersama anak perempuan terus dilindungi,” katanya sambil memaklumkan sudah berhubung dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bagi bantuan melalui PRISMA dan Dana Kreatif Malaysia kepada Fendy.

Ini kerana dia masih meneruskan aktivitinya secara langsung melalui Facebook dan Youtube setiap minggu.

Dalam pada itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang turut mengunjungi bagi menghulurkan sedikit bantuan kewangan dan bakul makanan kepada Fendy berjanji mahu mengumpul dana secepat mungkin bagi mendapatkan set drum elektronik untuk membantunya mencari rezeki secara dalam talian.

Katanya, tiada set drum yang sempurna menyukarkan artis berkenaan membuat persembahan hingga terpaksa menghabiskan wang simpanan dan menjual beberapa peralatan muzik untuk wang perbelanjaan harian.

“Beliau masih dalam kategori belia dan akan menggunakan sistem freelance ekonomi yang kita bina bersama KKMM di bawah Program Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Dari segi bakul makanan keperluan harian tidak ada masalah sebab kita sentiasa salurkan seperti yang dirancang, malah, juga ada insan-insan lain dan NGO menyalurkan bantuan untuk dia,” ujarnya. – MalaysiaGazette