KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigadier Jeneral Dr. Mohd Arshil Moideen, sekata dengan pandangan parti itu sebelum ini.
Menurut beliau, dalam kenyataan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM itu, bahawa tidak ada tindakan secara bersepadu dan arahan koordinasi daripada peringkat atas sehingga bawah punca negara tidak dapat keluar daripada gelombang ketiga Covid-19, telah dilaungkan UMNO.
“Hanya semalam kenyataan Brigadier Jeneral Dr. Mohd Arshil, mengenai perkara itu selari dengan kenyataan UMNO sebelum ini.
“UMNO selalu menekankan dan menitik beratkan dengan mendesak kerajaan kalau mahu buat total lockdown, buatlah total betul-betul.
“Kita beritahu kepada kerajaan, laksanakan betul-betul bagi satu tempoh yang munasabah dengan pelbagai bantuan sewajarnya kepada rakyat untuk membantu mereka bertahan sementara,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Dalam wawancara kelmarin, Brigadier Jeneral Dr. Mohd Arshill dilaporkan berkata, masalah itu turut disumbangkan dengan kelewatan dalam kawalan, diagnosis dan pengasingan kes Covid-19.
“Daripada waktu kita contain, diagnosis and isolation, ia memakan masa dan tidak cukup pantas untuk mengekang penularan di kawasan kes terlalu tinggi,” kata pegawai tinggi ATM itu.
Menurut Ahmad Zahid, mungkin sebab itu juga majoriti rakyat memang berpandangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal menguruskan pandemik Covid-19 di Malaysia.
Katanya, hanya pasukan siber mereka sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh mengilustrasikan sebaliknya.
“Cukuplah. Tak simpatikah anda pada rakyat?,” soalnya. – MalaysiaGazette