Jaringan Prihatin Programme Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi isyarat unjuran itu sekitar 4.0%.

Bercakap kepada Bloomberg TV, beliau berkata, walaupun terdapat keyakinan bahawa lonjakan kes-kes ini dapat dibendung dan PKP dapat dilonggarkan, kerajaan masih mengunjurkan penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini.

“Kami sedang menyemak kepada angka yang lebih rendah dan akan memaklumkan angka ang tepat setelah kami mendapat data dari lapangan,” kata beliau.

Sebelum ini, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan antara 6.0 hingga 7.0%.

Tekanan ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin meningkat kerana pelaksanaan PKP telah mendatangkan kerugian sebanyak RM1 bilion sehari dan hanya 10% penduduk sudah divaksin sepenuhnya.

Kes terbaharu Covid-19 di Lembah Klang terus bertambah, menyumbang 60% daripada jumlah keseluruhannya.

Indeks FBM KLCI merosot 0.4% pada jam 11 pagi tadi setelah mengatasi kerugian minggu ketiga pada hari Jumaat.

Ringgit naik 0.1% kepada 4.1873 bagi setiap dolar Amerika Syarikat selepas jatuh kepada paras terendah 11 bulan pada hari Jumaat, sementara hasil bon 10 tahun meningkat 5 mata asas kepada 3.26%.

Tengku Zafrul telah dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara pada minggu lalu, yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi.

“Fokus kami hari ini adalah agar ekonomi dapat dibuka dengan selamat. Ini adalah rancangan yang dinamik dan tangkas,” katanya. – MalaysiaGazette