LONDON – Impian Novak Djokovic untuk mencapai status ‘Golden Slam’ kini dalam persoalan.
Ia selepas juara Wimbledon 2021 itu berkata, peluangnya beraksi dalam Olimpik Tokyo yang akan membuka tirai secara rasminya akhir Julai ini adalah 50-50.
Jaguh nombor satu dunia kelahiran Serbia itu menundukkan pemain rangking 25 dunia dari Itali, Matteo Berrettini 6-7 (4-7) 6-4 6-4 6-3 pada Ahad untuk mempertahankan mahkotanya kali ini.
Jika bintang Serbia itu berjaya beraksi dan merangkul pingat emas dalam Olimpik kali ini dan gelaran Grand Slam Terbuka US, dia akan muncul sebagai jaguh tenis pertama melengkapkan status ‘Golden Slam’.
“Saya perlu duduk dan memikirkan semula mengenainya (penyertaan Olimpik Tokyo,” katanya ketika disoal pemberita selepas Wimbledon dalam satu laporan agensi hari ini.
Djokovic sentiasa mempunyai rancangan untuk menyertai Olimpik Tokyo kali ini tetapi minggu lalu pengumuman jawatankuasa penganjur tuan rumah Tokyo menyaksikan peminat sukan dilarang hadir ke stadium disebabkan risiko jangkitan Covid-19.
“Sangat sedih untuk mendengar berita itu (larangan penyokong).. saya juga mendengar bahawa pelbagai larangan ketat akan dilaksanakan ke atas para atlet di perkampungan sukan.
“Berkemungkinan peraturan ketat ini akan menghalang anda daripada menonton persembahan atlet lain di atas trek atau padang nanti.
“Buat masa ini saya masih seperti 50-50 untuk menyertai Olimpik disebabkan berita yang saya dengar beberapa hari yang lalu,” kata pemain kelahiran Serbia berusia 34 tahun itu.
Dengan kemenangan gelaran Wimbledon, beliau menyamai rekod pencapaian 20 Grand Slam yang dipegang Roger Federer dan Rafael Nadal selama ini.
“Saya masih percaya terbaik dalam tenis tetapi sama ada terbaik sepanjang masa atau tidak.. itu saya biarkan kepada peminat tenis menentukannya.
“Adalah sangat sukar untuk kita buat perbandingan dengan era tenis zaman awal kerana kita mempunyai raket tenis, teknologi dan bola dan gelanggang yang sangat berbeza dan maju.
“Suasana permainan tenis sudah melangkaui peredaran masa dan kita tak boleh bezakan tenis 50 tahun lalu dan sekarang,” tegasnya.-MalaysiaGazette