KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Pahang akan terlibat dengan latihan pendigitalan pada tahun ini.

Ia bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pendigitalan perniagaan di era ekonomi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Ts Hasnul Fadhly Hasan berkata, pihaknya akan menggiatkan lagi usaha untuk melatih lebih ramai PKS di Pahang yang bermula di Indera Mahkota dengan latihan-latihan pendigitalan perniagaan.

“Kami juga berharap agar lebih ramai pihak akan tampil untuk bekerjasama dengan MYNIC bagi menjayakan sebarang inisiatif
adaptasi digital seterusnya menyumbang ke arah peningkatan ekonomi negara,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis pelancaran bengkel secara maya anjuran Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota dengan kerjasama MYNIC.

Bengkel tersebut dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota. Hadir pada majlis Pengerusi MYNIC, Dr Mohamed Awang Lah.

MYNIC merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (KKMM) yang menyediakan domain .my dan
perkhidmatan lain yang berkaitan, memberikan identiti internet unik kepada organisasi dan individu di Malaysia.

Sementara itu, menurut kenyataan MYNIC, ia telah mengadakan program-program webinar melibatkan lebih dari 5,000 PKS di kawasan pantai timur.

Katanya, sehingga kini MYNIC telah berjaya melatih 13,000 orang usahawan di bawah program PRIME (Program Realisasi Impian Digital) dan masih meneruskan inisiatif adaptasi digital yang
menyasarkan kepada PKS tempatan terutama PKS di luar bandar.

“MYNIC akan meneruskan usaha untuk memperkasa perniagaan dan industri tempatan untuk menjadi penyumbang kepada ekonomi digital,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, dengan pembangunan industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang berkembang pesat dan penggunaan nama domain .MY yang meluas, ianya akan dapat
membantu mengembangkan jenama produk dari Malaysia serta menjayakan inisiatif pendigitalan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast