TELUK KUMBAR – Inisiatif guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bayu, di sini, menyediakan food bank bagi meringgankan beban keluarga pelajar sekolah tersebut membuka ruang bagi golongan M40 untuk turut berkongsi rezeki.
Ia terbukti apabila rata-rata golongan M40 datang ke sekolah berkenaan bagi mendapatkan keperluan makanan asas demi kelangsungan hidup.
Lebih menyentuh hati, rata-rata penduduk sekitar kawasan itu yang terdiri daripada golongan B40 iaitu nelayan, peniaga kecil serta pekerja kilang turut tampil menyampaikan sumbangan agar food bank itu sentiasa mempunyai bekalan makanan sekali gus membolehkan mana-mana pihak yang memerlukan datang mendapatkannya.
Menurut jurucakap SML Seri Bayu, mereka menjadikan kiosk pendidikan khas yang terletak bersebelahan pintu masuk sekolah sebagai ‘food bank’ untuk membantu keluarga pelajar memandangkan rata-rata pelajarnya terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan.
Jelas beliau, food itu beroperasi sejak 1 Julai lalu selepas 75 guru sekolah tersebut menyumbang dana untuk menyediakan bakul makanan berisi barang keperluan asas, namun ia kurang mendapat sambutan dalam kalangan pelajar ekoran mereka malu untuk tampil dan mengambil sumbangan tersebut.
Katanya, bagi menangani isu tersebut, guru-guru dengan kerjasama Persatuan Penduduk Kuarters sekolah menyediakan food bank dan ia dibuka kepada semua penduduk sekitar kawasan berkenaan.
“Dalam tempoh itu, kita lihat kebanyakan orang yang tampil untuk mendapatkan bantuan terdiri daripada golongan M40.
“Semakan mendapati rata-rata mereka itu kehilangan kerja, tiada pulangan peniagaan akibat pandemik Covid-19.
“Dana yang terkumpul ketika itu tidak begitu banyak, namun sambutannya amat menggalakkan sehingga penduduk setempat yang terdiri daripada golongan B40 tampil memberikan sumbangan walaupun tidak banyak tetapi barang di food bank ini masih ada untuk mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Antara barang yang disumbangkan termasuk ikan hasil daripada tangkapan nelayan setempat, sayur-sayuran, ayam serta barangan basah lain.
Tambahnya, ada pasangan muda yang datang menyumbangkan jajan, ubat gigi, sabun yang membuatkan food bank itu dikunjungi semua golongan masyarakat untuk mendapatkan keperluan mereka sekiranya terdesak dalam tempoh mencabar ini.
Food bank di SMK Seri Bayi itu dibuka bemula jam 8.30 pagi hingga 7 malam setiap hari. – MalaysiaGazette