KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH) hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.

Antara terma RCI yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH dari tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk pelan pemulihan dan penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

RCI itu bagi menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya.

Suruhanjaya itu akan mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Langkah ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus LTH.

Selain itu, siasatan itu akan mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

Perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat.

Penubuhan RCI ini adalah wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan tersebut dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan LTH.

Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan LTH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.