Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) kerajaan menganjurkan perbincangan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan Islam dan Melayu mengenai cadangan meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas isu-isu berbangkit berdasarkan lunas-lunas perundangan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin juga berpendapat, hasil siasatan dan pandangan dari RCI kelak dapat membantu TH menambak baik pengurusan dan tadbir urus.

“Lembaga Tabung Haji mengambil maklum dan menyambut baik keputusan kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas isu-isu berbangkit mengenai TH hasil pengauditan perunding-perunding dari tahun 2014 hingga 2020,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit.

Katanya, TH telah dan senantiasa berusaha untuk melaksanakan proses penambahbaikan terhadap operasi dan urus tadbirnya demi kepentingan para pendeposit.

Artikel berkaitan: Kabinet tubuh RCI siasat Tabung Haji

Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

Ia bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai THhasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.

Antara terma RCI yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH dari tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk pelan pemulihan dan penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini. – MalaysiaGazette