Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Empat syarikat telekomunikasi telah mendapat 64 kompaun atas kegagalan mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik serta ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, kompaun yang dikeluarkan pada suku kedua tahun ini bernilai RM3.2 juta.

Daripada nilai tersebut, sebanyak 54 kompaun yang bernilai RM2.7 juta dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi, Maxis Broadband Sdn Bhd adalah kerana kegagalan mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik.

Selain daripada itu, SKMM juga turut mengeluarkan 10 kompaun atas ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir iaitu lima kompaun yang bernilai RM250,000 kepada syarikat U Mobile Sdn Bhd, diikuti dua kompaun bernilai RM100,000 kepada Maxis Broadband Sdn Bhd serta dua kompaun bernilai RM100,000 kepada Digi Telecommunications Sdn Bhd.

Manakala XOX Com Sdn Bhd dikenakan satu kompaun yang bernilai RM50,000.

Tindakan ini diambil bagi memastikan hak pengguna diberi keutamaan dalam memilih syarikat telekomunikasi berdasarkan kepada perkhidmatan yang ditawarkan.

SKMM memandang serius kesalahan yang dilakukan oleh syarikat telekomunikasi tersebut.

Syarikat telekomunikasi juga digesa agar lebih tegas terhadap ejen-ejen mereka dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan serta tidak mengabaikan aspek keselamatan dalam usaha membendung jenayah siber dan kepentingan pengguna. – MalaysiaGazette