Sektor peruncitan yang terjejas akan dipulihkan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia (FMFTA) menggesa kerajaan supaya membenarkan industri itu menyambung operasi pada Fasa Dua mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Organisasi itu menjelaskan pihak pembuat dan peruncit mengalami kerugian berjumlah RM163 juta sehari ekoran penutupan operasi.

Pengerusi FMFTA, Datuk Seri Tan Thian Poh berkata pertubuhan itu  berhasrat mengemukakan surat rayuan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini.

“Kami amat bimbang jika industri ini hanya dibenarkan kembali beroperasi pada Fasa Tiga PPN kerana kebanyakan ahli kami tidak akan dapat bertahan sekiranya perlu menunggu peralihan daripada Fasa Satu kepada Fasa Tiga tanpa beroperasi.

“Terdapat keterdesakan untuk industri ini dibenarkan beroperasi pada Fasa Dua. Ini bertujuan mengelakkan kemusnahan industri ini. Penutupan yang berpanjangan akan menjejaskan nasib 500,000 pekerja dan situasi ini sudah pasti akan meningkatkan pula kadar pengangguran di Malaysia,” katanya semasa sidang media secara maya pada Jumaat.

Pada 2020, nilai jualan pembuatan tahunan yang dicatatkan industri fesyen, tekstil dan pakaian adalah berjumlah RM24.23 bilion justeru, nilai kerugian perolehan yang ditanggung industri ekoran penutupan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula dianggarkan RM80.8 juta bagi setiap hari bekerja.

Peruncit dalam industri juga mencatatkan nilai jualan runcit RM29.6 bilion tahun lepas, oleh itu, penutupan ini mengakibatkan kerugian perolehan dianggarkan RM82.2 juta sehari.

Industri ini turut mengalami penyusutan nilai eksport kepada RM21 bilion daripada RM27 bilion pada 2019 berikutan pandemik.

Tan berkata, sejak PKP kali pertama dilaksanakan, 15 peratus daripada perniagaan fesyen, tekstil dan pakaian telah menamatkan operasi mereka manakala 30 peratus lagi kini diambang penutupan terus disebabkan kekurangan aliran tunai dan ketidakpastian masa depan.

Beliau berkata, FMFTA menjangkakan lebih 30 peratus peruncit mengalami kejatuhan sebelum Fasa Tiga PPN dan 150,000 pekerja akan diberhentikan sekiranya kerajaan tidak membenarkan industri ini beroperasi pada Fasa Dua mengikut pelan tersebut.

“Kami berpandangan tidak praktikal untuk menunggu kes COVID-19 berkurangan sehingga di bawah 4,000 kes. Justeru, kami menggesa kerajaan menyemak nilai ambang yang ditetapkan MKN supaya negara dapat beralih kepada Fasa Dua dengan segera daripada hanya menunggu,” katanya.

FMFTA dianggotai 12 ahli persatuan yang mewakili keseluruhan rantaian bekalan industri fesyen, tekstil dan pakaian.

Ia mewakili pereka fesyen, model, pemilik butik, pemilik jenama, pembuat barang kemas, pengeluar pakaian kulit, peruncit, pembekal aksesori fesyen, usahawan batik serta pengilang kasut, pakaian dan tekstil. – MalaysiaGazette