Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mendakwa proses penyuntikan pertama vaksin mengambil masa yang terlalu lama.

Ini kerana ada yang telah mendaftar dengan MySejahtera pada bulan Februari lalu, tetapi sehingga ke hari ini tidak dapat temujanji untuk suntikan.

Lantaran itu, UNI-MLC mencadangkan agar penyuntikan vaksin ini di sektor-sektor perkhidmatan disegerakan dan diutamakan dengan turut menyenaraikan mereka sebagai barisan hadapan utama yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat dan orang ramai.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, kelewatan pemberian vaksin kepada pekerja-pekerja barisan hadapan yang lain adalah sesuatu yang mengecewakan, membimbangkan dan memerlukan perhatian segera oleh kerajaan.

Jelasnya, kerajaan perlu mengkategorikan setiap pekerja sebagai anggota barisan hadapan kerana masing-masing mempunyai peranan dan fungsi penting demi kepentingan rakyat dan negara.

”Sebagai contoh, setiap pekerja kilang juga harus disenaraikan sebagai barisan hadapan kerana jika mereka tidak bekerja, kita tidak akan ada bekalan makanan dan sebagainya.

”Oleh itu, adalah wajar setiap individu yang bekerja ketika ‘total lockdown’ ini diberikan vaksin dengan secepat yang mungkin,” katanya dalam kenyatan di sini sambil mencadangkan kerajaan wajar mengadakan satu perbincangan dengan kesatuan-kesatuan sekerja dan badan industri bagi mencari jalan penyelesaian
total.

Menurut beliau, rakyat secara keseluruhan terutama kaum pekerja menjadi cemas dan bimbang dengan kadar peningkatan kes baharu Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Kebanyakan pekerja di sektor perkhidmatan seperti bahagaian peruncitan, pasar raya, media, restoran, perbankan dan kewangan, pos dan kaurier, pembuatan dan pembinaan berhadapan dengan kerisauan dan kebimbangan yang amat tinggi sebab ramai di antara mereka masih belum diberikan suntikan, lebih-lebih lagi dos pertama.

Beliau turut memohon perdana menteri bercampur tangan dalam memastikan proses vaksinasi ke atas para pekerja di semua peringkat dan sektor disegerakan, terutama yang melibatkan mereka di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan – negeri-negeri yang menyaksikan peningkatkan kes dengan mendadak.

Langkah yang sama perlu diberi perhatian di negeri-negeri yang lain supaya tidak ada situasi yang sama seperti yang dialami di ketiga-tiga negeri dan wilayah itu.

UNI-MLC mencadangkan supaya proses penyuntikan vaksin juga diserahkan kepada tiap-tiap negeri bukan dikawal oleh Kerajaan Persekutuan.

”Kita perlu menghentikan terlalu ramai orang yang bercakap melalui media. Yang penting buat kerja lebih banyak daripada bercakap,” tambah beliau. – MalaysiaGazette