KLANG – Timbalan Perdana Menteri memberi amaran kepada kilang-kilang yang mendapat kebenaran beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Ini kerana sehingga kini masih banyak kilang-kilang dalam kategori penting untuk beroperasi didapati gagal mematuhinya, dedah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, pelbagai alasan tidak munasabah diberikan oleh majikan meskipun SOP pengoperasian kilang telah disediakan.
“Banyak lakukan kesalahan. Walaupun mereka boleh operasi tapi langgar SOP. Macam-macam alasan mereka bagi seperti tidak tahu pekerja tidak imbas suhu, scan MySejahtera, walaupun arahan dah dikeluarkan,” katanya ketiga memantau pematuhan SOP menerusi Op Patuh di kilang Ayamas Food Corporation di sini hari ini.
Ujar Ismail Sabri, sebanyak 85 pekerja di kilang itu didapati gagal mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke premis.
Kilang berkenaan juga dalam masa yang sama gagal menyediakan pengimbas suhu dan tiada cecair nyah kuman disediakan untuk pekerja.
Beliau terdahulu turut ke kilang pembuatan logam, C.S Yap Industries Sdn Bhd di Klang.
Turut hadir bersamanya hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan terhadap kilang yang gagal mematuhi SOP akan ditentukan oleh pihak polis.
“Walaupun dari segi kebenaran operasi mereka dibenarkan, tapi mereka juga kena patuh pada SOP. Kalau gagal patuh SOP akan dikenakan tindakan juga,” tambahnya. – MalaysiaGazette