Amirudin Shari

KLANG – Kerajaan Selangor akan mempercepatkan proses pengebumian jenazah dengan mendapatkan kerjasama dari Majlis Daerah dan Perbandaran untuk mengaturkan kenderaan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sedar masalah yang dihadapi oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Hospital Shah Alam (HSA) dan Hospital Sungai Buloh (HSB) yang terpaksa menyimpan jenazah sehingga 48 jam sebelum dapat dibawa ke tanah perkuburan untuk pengebumian.

“Saya ada berbincang dengan Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) untuk memperkemas dan mempercepatkan urusan jenazah di tiga hospital ini.

“Kita juga sediakan dua tanah perkuburan untuk kebumikan jenazah ini iaitu di Seksyen 21 Shah Alam dan Tanah Perkuburan Islam Klang.

“Kita sedang aturkan kenderaan dari Majlis Tempatan supaya dapat digunakan untuk membawa jenazah ini ke tanah perkuburan dalam tempoh yang lebih pendek,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancar dan melawat Program Vaksinasi Covid-19 di Taman Desawan, dekat Klang, hari ini.

Kerajaan negeri menggunakan dewan Pusat Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia, Cawangan Selangor bagi menjayakan program itu.

Menurut Amirudin, beliau menyedari masalah yang dihadapi tiga hospital itu untuk membawa keluar jenazah, yang mana terpaksa disimpan selama lebih 48 jam bagi urusan pengebumian.

“Saya harap dengan penggunaan kenderaan dari Majlis Tempatan ini, masalah itu dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga ada berbincang dengan Kementerian Luar berhubung proses pengebumian jenazah warga asing.

Katanya, proses itu mengambil masa lebih satu minggu, malah satu bulan untuk mendapatkan surat pengesahan dan kebenaran dari kedutaan masing-masing.

“Kita akan percepatkan proses ini sebab ada sebahagian jenazah ini terpaksa mengambil masa hampir satu minggu, malah sebulan terpaksa disimpan di rumah jenazah sebelum mendapat pengesahan dan surat kelulusan dari kedutaan untuk proses pengebumian.

Mengenai penguatkuasaan ke atas kilang yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan polis dalam penguatkuasaan itu.

“Kita akan teruskan penguatkuasaan serta membantu polis. Semalam pun, ada siasatan dan lawatan dilakukan di beberapa kilang di Pelabuhan Klang.

“Kerajaan negeri akan membantu pihak berkuasa sebaik mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast