PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang wanita dan teman lelakinya bagi membantu siasatan kes penganiayaan dua kanak-kanak di Taman Samudera, Batu Caves di sini.

Turut ditahan seorang lelaki iaitu penjaga dua kanak-kanak terbabit dan kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah Selayang hari ini bagi permohonan tahanan reman.

Ketua Polis Gombak, ACP Zainal Mohamed dalam kenyataannya berkata, wanita tersebut yang berusia 22 tahun merupakan ibu kandung kepada kedua-dua kanak-kanak malang itu.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan memaklumkan tentang dua kanak-kanak yang ditemui bermain alam keadaan tidak terurus.

Bertindak daripada laporan tersebut, polis telah melakukan siasatan dan mendapati kanak-kanak itu tinggal bersama ibu kandung serta teman lelakinya di sebuah rumah sewa di Taman Samudera.

Katanya, pemeriksaan fizikal ke atas kedua-dua mangsa mendapati beberapa kesan calar dan lebam di kedua-dua belah tangan, kaki, pipi dan dagu.

“Mereka telah dihantar untuk pemeriksaan doktor di Hospital Selayang,” katanya.

Menurut Zainal, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Katanya, salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. – MalaysiaGazette