Penduduk tempatan dakwa wujud tapak pelupusan sampah haram di Batu Maung.

BATU MAUNG – Sebuah tapak pelupusan sampah haram yang wujud berhampiran Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), di sini, dibimbangi memberi kesan terhadap alam sekitar dan nelayan.

Ia berikutan lokasi yang menempatkan pelbagai jenis sisa buangan itu berada berhampiran kawasan persisiran pantai.

Menurut lelaki yang ingin dikenali sebagai Wan, dia sudah membuat aduan kepada pihak MBPP sejak Mei lalu, namun kegiatan melupus sampah masih dijalankan sehingga kini.

Lokasi dakwaan tapak pelupusan sampah haram di Batu Maung.

Dakwa Wan, agak mustahil MBPP atau pihak bertanggungjawab lain tidak tahu kegiatan itu memandangkan ia berhampiran dengan lokasi Pusat Pelupusan Sisa Pepejal serta berhadapan lokasi sekatan jalan raya (SJR).

“Saya lihat aktiviti ini sudah lama, ia bukan saja mencatatkan pemandangan sebaik kita turun Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah menghala Bayan Lepas malah bimbang mengancam hasil laut buat nelayan tempatan.

“Berdasarkan tinjauan sebelum ini, saya tidak menolak kemungkinan mereka tambun tanah di kawasan tersebut bagi mengaburi kegiatan pelupusan sampah.

Difahamkan mereka tambun tanah bagi mengaburi kegiatan pelupusan sampah.

“Mana boleh tambun tanah persisiran pantai? Tidak kira kegiatan ini dibuat di tanah sendiri atau diceroboh, bagi saya pihak berkuasa harus tampil buat kenyataan kepada umum,”katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Wan, selain membuat aduan kepada MBPP dia turut membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya anggap perkara ini serius dan mungkin berlaku penyalahgunaan kuasa dalam kalangan kakitangan MBPP sebab itu saya lapor pada SPRM.

Tapak pelupusan sampah haram itu dikatakan mampu menjejaskan pendapatan nelayan tempatan susulan berhampiran dengan kawasan persisiran pantai.

“Saya harap satu tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kerana kita tahu pelupusan sampah secara haram akan mendatangkan kesan buruk terhadap kawasan sekitar khususnya hidupan laut berhampiran,” ujar Wan. – MalaysiaGazette