Gambar hiasan

SHAH ALAM – Polis Daerah Subang Jaya memburu tiga individu yang didapati melanggar arahan kuarantin dengan keluar dari rumah mereka di Puchong, Selangor Khamis lalu.

Tiga individu terbabit, dua lelaki dan seorang wanita yang memakai gelang warna merah jambu dikesan berada di hadapan sebuah premis farmasi di Puchong Perdana pada jam 11.20 pagi itu.

Menurut Ketua Polis IPD Subang Jaya, ACP Abd. Khalid Othman, pihaknya menjalankan siasatan itu selepas tular satu gambar yang dimuatnaik di laman sosial Facebook Warga Puchong pada 16 Julai lalu.

“Dalam gambar itu, ada tiga individu yang memakai gelang warna merah jambu berada di hadapan Be Farmasi Puchong Perdana.

“Susulan itu, team Task Force Pematuhan dan Pemantauan Ops Covid-19 IPD Subang Jaya membuat pemeriksaan di premis berkenaan di Jalan Kekwa 1, Puchong Perdana, Puchong, Selangor.

“Hasil temubual dengan Penyelia farmasi mendapati kejadian gambar tular di laman sosial Facebook tersebut berlaku pada 15 Julai jam 11.20 pagi, di mana terdapat seorang lelaki telah masuk ke dalam farmasi tanpa imbasan MySejahtera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menyatakan, lelaki itu memakai gelang warna merah jambu masuk ke premis berkenaan untuk membeli ubat, manakala seorang lagi lelaki dan seorang menunggu di luar premis.

Katanya, lelaki yang berada dalam farmasi tersebut kemudian beredar keluar tanpa membuat sebarang pembelian setelah dimarahi dan diarahkan keluar oleh pekerja farmasi.

“Berikutan itu, empat pekerja farmasi yang bertugas pada hari tersebut telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing sebelum membuat ujian calitan awal.

“Tiada sebarang laporan polis dibuat selepas kejadian itu dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 270 KK / 22(b) APPPB.

“Siasatan awal mendapati dua lelaki dan seorang perempuan itu telah melanggar arahan kuarantin yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan usaha mengesan tiga individu tersebut diteruskan sehingga kini,” katanya.

Kata Abd. Khalid, polis kemudian mengeluarkan kompaun ke atas farmasi tersebut di bawah kesalahan Peraturan (16) PPPPB kerana gagal memastikan hanya pelanggan dengan status ‘Low Risk’ dalam MySejahtera sahaja dibenarkan masuk dalam premis.

Beliau berkata, orang ramai yang diarah menjalani kuarantin kendiri di rumah atau yang memakai gelang merah jambu dinasihatkan tidak keluar dari kediaman dan terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bersamalah kita memainkan peranan dalam usaha kerajaan bagi melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast