Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang didakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga tertanya-tanya mengapa lapan laporan polis yang dibuat ke atas suaminya tetapi masih belum ada sebarang tindakan.

Laporan itu tidak termasuk satu laporan polis yang dibuat oleh adik kandungnya.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Yoshita mendedahkan sepanjang 12 tahun perkahwinannya, dia telah didera secara mental dan fizikal oleh suami dan keluarga mertuanya.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, ibu kepada tiga orang anak ini berkata, dia pernah dipukul, ditendang, dicekik, diludah, ditampar dan dilempar dengan kata-kata kesat oleh suami, ibu mertua dan adik-adik iparnya ketika beliau tinggal bersama mereka di Sungai Petani, Kedah.

”Saya didera sejak awal perkahwinan sehinggalah anak ketiga lahir, saya tidak pernah berhenti diseksa.

“Saya tidak menyangka sifat pemarah suami akhirnya membawa kepada keganasan rumah tangga yang begitu teruk,” katanya yang memberitahu dia mula didera sejak mengandung anak pertama.

Yositha yang berasal dari Perak berkata, selain dipukul dengan kaki tangan, dia juga biasa dibaling meja dan botol air.

“Saya seperti tidak sedar apa yang dilakukan oleh suami saya itu sebenarnya adalah keganasan rumah tangga. Saya cuba bertahan tetapi semakin lama semakin teruk. Dia cepat marah untuk semua perkara kemudian manipulasi semuanya dengan menuduh saya puncanya.

“Sehingga satu tahap itu saya hanya akan diamkan diri dan tidak akan berkata apa-apa jika tidak mahu terus dibelasah oleh suami,” ujarnya dengan sebak.

Mangsa keganasan rumah tangga menunjukkan bekas luka di tapak tangannya yang dipercayai diperlakukan oleh suaminya ketika wawancara di Shah Alam Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2021.

Katanya, pengalaman diseret dari tangga, ditarik rambut, disepak ketika mengandung adalah pengalaman ngeri baginya.

Yositha berkata, suaminya akan berhenti menderanya jika melihat anggota badannya berdarah atau melihat saya sudah tidak berdaya.

Dia juga mendakwa suaminya bijak memanipulasi keadaan seolah-olah perlakuannya bukan satu kesalahan.

”Dia akan berhenti kemudian meminta maaf, merayu dan menangis supaya saya tidak melakukan apa-apa yang drastik.

“Saya pernah keguguran dua kali sepanjang perkahwinan akibat penderaan fizikal dan mental oleh suami, ibu mertua dan adik ipar. Saya juga pernah banyak kali dibiarkan berlapar oleh suami,” tambahnya.

Dia nekad bertindak keluar rumah pada April tahun ini apabila sudah tidak tahan dipukul dan diaibkan, bahkan digelar orang gila oleh suami sendiri dan ibu mertuanya.

Yoshita menunjukkan beberapa helaian laporan polis berhubung kes keganasan rumah tangga kepada wartawan MAlaysia Gazette dalam pertemuan di Shah Alam Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2021.

“Setakat ini saya telah membuat lapan laporan polis kepada pihak berkuasa namun tidak ada satu pun tindakan telah diambil ke atas suami saya sehingga saya tertanya-tanya mengapa suami saya masih boleh terlepas daripada tindakan undang-undang?,” ujarnya.

Lapan laporan polis itu termasuk empat di Sungai Petani dan empat di Selangor.

Wanita malang ini berkata, dia sudah tiga bulan tidak bertemu dengan dua anak perempuannya yang berumur 11 dan 7 tahun.

Namun anak lelakinya yang berusia hampir 2 tahun ada bersamanya.

Yositha yang juga bekas penuntut perubatan sebelum mendirikan rumah tangga tetapi tidak meneruskan pengajiannya kerana tidak mendapat keizinan suaminya.

Yositha mengesat air mata ketika menceritakan pengalamannya menjadi mangsa keganasan rumah tangga dalam pertemuan dengan wartawan MAlaysia Gazette di Shah Alam Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2021.

Dia dan anak lelakinya kini diberi perlindungan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Wanita ini menambah, dia ada alasan untuk mempersoalkan laporan polis yang dibuat olehnya kerana bimbang akan nasib yang menimpa dua anak perempuannya yang masih di bawah jagaan suami dan tinggal bersama ibu mertuanya.

”Apa yang berlaku kepada saya adalah tidak adil sedangkan saya perlukan keadilan.

”Saya tidak mahu apa yang dilakukan pada saya menimpa anak-anak perempuan saya.

”Jadi saya tidak boleh berdiam diri lagi. Saya rasa jika tidak keluar dari rumah itu, mungkin hari ini saya sudah mati,” ujarnya dengan linangan air mata. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast