JAKARTA, ibu kota Indonesia, adalah sebuah kota yang penuh kontras — antara moden dan tradisional, kaya dan miskin, kebisingan dan ketenangan. Ia adalah nadi ekonomi, politik dan budaya negara republik yang terbesar di Asia Tenggara ini.
Pertama kali melangkah ke tanah Jakarta, saya tidak mampu menyembunyikan rasa kagum terhadap keghairahan kota ini. Suasana Jakarta sangat berbeza daripada mana-mana kota di Malaysia.
Ketika melintasi Jalan Sudirman-Thamrin yang sibuk, saya melihat betapa pesatnya pembangunan kota ini. Gedung pencakar langit tumbuh bagai cendawan selepas hujan, menandakan aspirasi besar Indonesia untuk menjadi kuasa ekonomi utama dunia.
Dari sisi seorang wartawan, Jakarta adalah medan berita yang tidak pernah sunyi. Demonstrasi, pelancaran dasar, urusan diplomasi, serta denyut ekonomi menjadikan kota ini seperti sebuah ruang editorial terbuka.
Minggu ini, suasana Jakarta dihangatkan dengan kehadiran tetamu penting dari Malaysia — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu lawatan rasmi yang berlangsung selama tiga hari.
Lawatan beliau bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia, terutamanya dalam isu pekerja migran, pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), serta kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara jiran ini.
Kehadiran Ahmad Zahid di Jakarta disambut dengan protokol penuh oleh kerajaan Indonesia. Perkarangan Istana Merdeka menjadi saksi perbincangan dua hala yang dianggap penting untuk rantau ini.
Dalam sidang media bersama Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, Ahmad Zahid menekankan pentingnya kerjasama erat dalam pengurusan pekerja Indonesia di Malaysia, serta pengiktirafan kelayakan TVET kedua-dua negara.
Sebagai wartawan Malaysia yang membuat liputan, saya merasakan kehadiran Ahmad Zahid membawa satu isyarat bahawa Malaysia serius dalam memperkukuh hubungan serumpun yang sekian lama terbina.
“Saya ingin menyarankan agar hubungan ini bukan hanya antara kerajaan, bukan hanya ‘business to business’, tetapi lebih kepada ‘people to people’ agar kedua-dua negara dapat mencapai status berpendapatan tinggi, berteknologi tinggi dan berada di barisan hadapan dalam pembangunan ekonomi rantau ASEAN,” katanya.
Jakarta menyambutnya bukan sekadar sebagai pemimpin Malaysia, tetapi sebagai rakan kongsi dalam rantau ASEAN yang menghadapi cabaran global — ekonomi tidak menentu, ketegangan geopolitik, dan perubahan iklim.
Tak kurang juga pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto yang melengkapkan lawatan rasmi Ahmad Zahid. Keduanya senada memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Indonesia, khususnya dalam bidang pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan ekonomi serantau.
Perbincangan turut tertumpu kepada isu industri halal, nelayan, pendidikan tinggi dan isu Gaza yang melingkari agenda kedua-dua negara.
Di Hotel Grand Hayatt saya sempat bertemu dengan beberapa delegasi Malaysia yang menyatakan komitmen untuk menjalin kerjasama pelaburan dengan rakan strategik Indonesia.
Apa yang menarik perhatian ialah usaha Ahmad Zahid dalam mengetengahkan bidang pendidikan dan latihan kemahiran sebagai fokus utama lawatan. Ia selari dengan aspirasi Indonesia yang kini menekankan pembangunan modal insan berkemahiran.
Selain rundingan rasmi, beliau turut mengadakan sesi libat urus dengan diaspora Malaysia di Jakarta. Dalam satu majlis santai di Kedutaan Malaysia, beliau menyentuh tentang pentingnya peranan rakyat Malaysia sebagai duta kecil negara.
Dalam interaksi itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan pesanan agar rakyat Malaysia di perantauan sentiasa menjaga nama baik negara dan terus menjadi penghubung kepada diplomasi rakyat yang lebih berkesan.
Dari kaca mata wartawan, lawatan ini tidak hanya menyentuh soal polisi dan diplomasi. Ia juga menyiratkan keakraban yang semakin utuh antara dua negara serumpun yang berkongsi sejarah, bahasa dan budaya.
Di tengah-tengah hiruk-pikuk dan macet di Jakarta, lawatan Ahmad Zahid memberikan satu nada yang berbeza — nada yang lebih harmoni dan penuh harapan. Ia bukan hanya kunjungan protokol, tetapi juga simbol ikatan dua negara yang terus kukuh walau diasak gelombang globalisasi.
Sebagai wartawan, saya melihat lawatan ini sebagai satu refleksi hubungan dua hala yang semakin matang. Ia bukan lagi hubungan berasaskan nostalgia sejarah, tetapi hubungan strategik untuk masa depan.
Saya juga melihat bagaimana Malaysia semakin memberi perhatian kepada hubungan serantau yang bersifat inklusif dan jangka panjang. Bukan sahaja berkisar pada isu ekonomi, tetapi juga nilai, budaya dan pendidikan.
Jakarta, dengan segala dinamismenya, menjadi latar sempurna untuk kunjungan penting ini. Kota yang hidup 24 jam sehari ini menyambut Malaysia dengan tangan terbuka dan semangat persaudaraan.
Lawatan seperti ini bukan sahaja harus diteruskan, tetapi perlu diperluas ke lapangan rakyat — pertukaran pelajar, kerjasama NGO, dan inisiatif diplomasi budaya.
Lawatan 72 jam Ahmad Zahid ke Jakarta membuktikan bahawa dalam dunia yang semakin terpecah, hubungan serumpun yang jujur dan pragmatik boleh menjadi benteng kestabilan.
Ketika saya meninggalkan Jakarta dan kembali ke Kuala Lumpur, satu perkara yang pasti — kota ini, dengan segala pesonanya, tetap menjadi pentas penting bagi hubungan Malaysia-Indonesia, dan saya sebagai wartawan, akan sentiasa mengenangkan kembali detik-detik bersejarah antara Ahmad Zahid dan Jakarta. – MalaysiaGazette
















