Oleh: Dr. Ahamad Jama’ Amin Yang
PILIHAN raya sentiasa disanjung sebagai puncak perayaan demokrasi. Rakyat beratur memberikan undi. Pemimpin diangkat untuk membina kerajaan. Namun, satu soalan jujur perlu ditanya. Apa yang berlaku selepas sorakan kemenangan reda? Adakah kuasa itu benar-benar kembali merawat duka rakyat? Atau kuasa itu sekadar berpindah tangan kepada sesetengah
pihak?
Persoalan ini membawa kita kepada makna demokrasi yang lebih besar daripada sekadar proses mengundi. Bagi Amartya Sen dalam karyanya Development as Freedom, demokrasi tidak memadai dengan sekadar memberi rakyat hak memilih pemerintah.
Demokrasi juga menuntut kebebasan untuk bersuara, mengkritik pihak berkuasa, mengambil bahagian dalam perbincangan awam dan mempunyai ruang untuk mempengaruhi keputusan yang membentuk kehidupan mereka. Dalam pengertian ini, demokrasi bukan sekadar soal siapa yang dipilih, tetapi juga tentang sejauh mana rakyat mempunyai suara selepas seseorang dipilih untuk berkuasa.
Di sinilah demokrasi Malaysia perlu dilihat dengan lebih tajam. Demokrasi boleh berjalan secara prosedural, tetapi belum tentu berfungsi secara substantif. Pilihan raya berjalan lancar. Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang mengikut jadual. Undang-undang terus digubal.
Hakikatnya, institusi penting negara boleh semakin dipengaruhi atau dikuasai oleh kelompok elit yang memiliki kekayaan, kedudukan dan jaringan politik. Demokrasi tidak semestinya mati secara mendadak. Demokrasi boleh terhakis secara perlahan apabila institusi yang sepatutnya menjamin keadilan semakin dipengaruhi oleh kepentingan yang sempit.
Peristiwa perubahan kerajaan pada tahun 2018 membuktikan bahawa kuasa rakyat mampu mengubah pentadbiran secara aman melalui proses pilihan raya. Begitu pun, perubahan wajah di jawatan tertinggi tidak semestinya bermakna struktur kuasa turut berubah.
Pertukaran kerajaan boleh mengubah siapa yang memegang tampuk pemerintahan, tetapi persoalan yang lebih mendasar ialah sama ada hubungan antara kuasa, kekayaan, institusi dan kepentingan rakyat benar-benar mengalami perubahan. Justeru, persoalan sebenar hari ini bukan lagi semata-mata sama ada Malaysia masih sebuah negara demokrasi atau tidak.
Persoalan yang lebih penting ialah demokrasi ini sebenarnya berfungsi untuk siapa. Siapakah yang mempunyai suara paling kuat? Siapakah yang paling berpengaruh dalam menentukan dasar?. Siapakah yang menikmati manfaat daripada keputusan politik?.
Dan yang paling penting, adakah rakyat hanya diperlukan ketika pilihan raya atau suara mereka terus mempunyai makna setelah undi dikira dan kerajaan terbentuk? Persoalan inilah yang membawa kita daripada demokrasi sebagai prosedur kepada demokrasi sebagai persoalan kuasa, keadilan dan kepentingan rakyat.
Hakikat penangkapan elit dan ketidakadilan
Penangkapan elit atau dalam terminologi politiknya elite capture, tidak sentiasa berlaku melalui perbuatan jenayah yang terang-terangan. Ia berlaku secara senyap menerusi penguasaan proses membuat keputusan. Golongan kaya dan berpengaruh menggunakan modal kewangan dan peguam terhebat untuk membentuk dasar negara. Keputusan kerajaan akhirnya
lebih memihak kepada kelompok mereka berbanding rakyat marhaen.
Institusi awam yang sepatutnya menjadi perisai rakyat kini terdedah kepada bahaya. Institusi tersebut berisiko menjadi perkakas untuk melindungi kepentingan segelintir pihak. Inilah jurang besar antara demokrasi prosedural dengan demokrasi substantif. Demokrasi prosedural sekadar memenuhi syarat borang. Demokrasi substantif pula memastikan wujudnya
keadilan hakiki dan rasa selamat bagi setiap jiwa.
Penilaian Freedom House pada tahun 2026 meletakkan Malaysia pada skor 53 daripada 100 dengan status separa bebas. Angka ini membongkar kelemahan nyata negara dalam membanteras rasuah dan menjaga kebebasan institusi.
Menukar kerajaan tidak akan menyelesaikan masalah ini secara automatik. Pertukaran elit hanyalah pertukaran pemain. Perubahan institusi pula ialah rombakan peraturan permainan. Jika peraturan masih menyebelahi yang berkuasa, rakyat akan terus kecundang.
Isu pembiayaan politik yang gelap mengukuhkan lagi kitaran songsang ini. Seperti yang diperingatkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), wang yang mengalir tanpa kawalan dalam politik bukan sekadar soal pembiayaan pilihan raya. Ia boleh membuka jalan kepada pengaruh tidak wajar dan menyebabkan dasar awam dibentuk untuk memenuhi kepentingan tertentu.
Kekayaan membeli akses politik. Akses politik menghasilkan dasar yang menguntungkan. Keuntungan itu kemudiannya mengukuhkan semula pengaruh politik mereka. Kitaran rakus ini memusnahkan kesamarataan.
Rakyat biasa hanya ada satu undi. Mereka tidak ada wang untuk menyewa pengaruh. Mereka tidak mampu membayar yuran guaman yang melambung tinggi. Kesamarataan di atas kertas bertukar menjadi kepalsuan dalam kehidupan sebenar. Apabila undang-undang dilihat cermat menghukum yang lemah tetapi kuyu membendung yang berkuasa, kepercayaannya terhadap negara akan musnah.
Hak rakyat sebagai benteng terakhir
Hak rakyat bukan sekadar perhiasan perlembagaan. Hak rakyat ialah benteng pertahanan terakhir daripada ketamakan kuasa. Kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan kebebasan media ialah perisai utama. Rakyat bukan sekadar pengundi pada hari pilihan raya. Rakyat ialah pengawas sepanjang masa.
Parlimen mesti berani bertindak sebagai pengawas. Jawatankuasa Parlimen perlu diberikan taji untuk meneliti setiap sen perbelanjaan dan tindakan kerajaan. Majoriti politik di dewan tidak boleh dijadikan alasan untuk mematikan teguran.
Badan kehakiman pula mesti bebas tanpa sebarang keraguan. Rakyat perlu yakin bahawa mahkamah melindungi yang benar, bukannya yang berpangkat. Agensi pencegah rasuah mesti diberi kebebasan mutlak tanpa tekanan politik. Pelantikan jawatan penting negara wajib dibuat secara telus berdasarkan merit. Kerajaan yang kuat tidak sepatutnya mematikan agensi pengawasnya sendiri.
Masyarakat sivil dan media juga perlu berani menyuarakan kebenaran. Namun keberanian itu mesti disandarkan pada fakta yang sahih. Pada masa yang sama, rakyat perlu keluar daripada kepungan taksub politik. Kesalahan tetap kesalahan walaupun dilakukan oleh pemimpin pujaan.
Kematangan kewarganegaraan diuji di sini. Adakah kita menolak penyalahgunaan kuasa atas dasar prinsip atau kerana dendam politik? Jika kita menutup mata pada kejahatan puak sendiri, kita sebenarnya bersubahat mengukuhkan penangkapan elit. Elit politik amat menyukai rakyat yang berpecah kerana taasub.
Sistem kuasa dan masa depan demokrasi
Perjuangan mengehadkan penangkapan elit bukannya mahu memusnahkan kepimpinan. Demokrasi masih memerlukan pemimpin yang berwibawa. Namun demokrasi melarang kewujudan mana-mana kelompok yang merasakan diri mereka mengatasi undang-undang.
Pertukaran kerajaan ialah satu pencapaian. Perubahan struktur kuasa ialah kemajuan sebenar. Keadilan untuk rakyat ialah matlamat akhir demokrasi. Soalan terbesar yang perlu membelenggu fikiran kita hari ini bukan lagi tentang siapa
yang berada di kerusi empuk kuasa. Soalan sebenarnya ialah siapa yang memegang kendali untuk mengawal mereka yang berkuasa.
Jika jawapannya ialah undang-undang dan suara rakyat, maka masa depan negara masih terjamin. Namun jika jawapannya ialah kelompok elit yang sama, maka demokrasi kita sebenarnya sedang dijajah dari dalam. Demokrasi tidak benar-benar diuji ketika kuasa berada di tangan pihak yang kita cintai dan percayai. Demokrasi diuji apabila kuasa berada di tangan mereka yang tidak kita sukai, malah mungkin kita tentang.
Pada saat itulah prinsip demokrasi menuntut kita berlaku adil terhadap kuasa, bukan sekadar terhadap pihak yang kita sokong. Dalam erti kata yang lebih mendasar, demokrasi bukan hanya hak untuk memilih siapa yang memerintah, tetapi hak untuk memastikan sesiapa pun yang memerintah tidak menjadi terlalu berkuasa sehingga boleh bertindak sesuka hati.
Prinsip ini bukan asing dalam tradisi pemikiran Islam. Pemerintah tidak dilihat sebagai pemilik kuasa, tetapi sebagai pemegang amanah yang terikat dengan keadilan dan kemaslahatan rakyat. Ibn Khaldun sejak berabad-abad lalu telah memperlihatkan bagaimana kuasa yang terpisah daripada keadilan mudah tergelincir menjadi kezaliman.
Demokrasi moden menginstitusikan kebimbangan yang sama melalui undang-undang, semak dan imbang, kebebasan institusi serta pertanggungjawaban awam. Justeru, ukuran sebenar kematangan demokrasi bukanlah sejauh mana kita mampu
memenangkan pihak yang kita sukai, tetapi sejauh mana kita sanggup mempertahankan prinsip yang sama apabila pihak yang tidak kita sukai memegang kuasa. Kerana pada akhirnya, demokrasi bukan dibina untuk melindungi pemerintah daripada rakyat, tetapi untuk memastikan kuasa sentiasa tunduk kepada undang-undang, keadilan dan kepentingan rakyat.
Penulis adalah Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah merangkap Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.
















