Loga Bala Mohan

ALOR GAJAH – Parti Progresif Penduduk (PPP) menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana yang menjadi kubu kuat DAP selama 12 penggal berturut-turut sejak 1974 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Presidennya, Datuk Dr. Loga Bala Mohan Jaganathan berkata, PPP sebelum ini pernah bertanding di DUN berkenaan pada 2013 (PRU-13) ketika Pilihan Raya Umum ke-13 dan mahu diberikan peluang sekali lagi untuk mencuba nasib di kerusi itu.

Bagaimanapun katanya, PPP tidak mahu tuntutan kerusi itu dilihat sebagai usaha melemahkan Barisan Nasional (BN) sebaliknya mahu memastikan kerjasama antara parti komponen dapat membantu kemenangan gabungan berkenaan.

“Kita tak minta lebih daripada satu kerusi selain Kota Laksamana tapi kerusi lain kalau diberikan, kita akan uruskannya untuk menyumbang kepada kemenangan BN.

“Kota Laksamana adalah kerusi dulu, kerusi yang pernah kita bertanding pada 2013 (Pilihan Raya Umum ke-13),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PPP  di sini semalam.

PPP pada PRU-13 meletakkan Chiw Tiang Chai sebagai calon dalam saingan tiga penjuru namun tewas dengan majoriti 8,507 undi selepas memperoleh 3,462 undi berbanding 11,969 undi yang diraih calon DAP, Lai Keun Ban.

Mengulas lanjut, Loga Bala berkata, hasrat PPP untuk bertanding pada PRN Melaka juga telah disampaikan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sejak sekian lama namun setakat ini belum menerima sebarang maklum balas.

“Kita sampaikan hasrat ini kepada Pengerusi BN (Ahmad Zahid) bukannya CM (Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) kerana saluran parti untuk parti-parti komponen adalah daripada pusat.

“(Tapi) setakat tak ada apa-apa lagi (maklum balas). Hasrat lama dah disampaikan” katanya.

DUN Kota Laksamana bermula daripada kawasan Kota Timor pada 1959 sebelum sebahagiannya membentuk Durian Daun dan akhirnya menjadi N.20 Kota Laksamana dalam persempadanan pada 2003.

Kerusi itu dikuasai DAP selama 12 penggal berturut-turut sejak 1974 sehingga DUN Melaka dibubarkan pada 23 September lalu untuk memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16.

Dalam pada itu, Loga Bala berkata, PPP tidak menetapkan tuntutan selain satu kerusi dan menyerahkan keputusan mengenai pembahagian kawasan kepada kebijaksanaan kepimpinan BN.

“Bakal-bakal calon memang kami ada dan semestinya semua adalah anak jati Melaka, takkanlah kita nak bawa (calon) ‘payung terjun,’” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PPP akan menggerakkan jentera bagi membantu BN menghadapi PRN Melaka dalam tempoh kira-kira 10 hari lagi.

Keputusan berhubung pergerakan jentera itu sudah dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti dan pelancaran akan diadakan dalam tempoh berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here