Tangkap layar menunjukkan ratusan warga asing mendirikan solat sunat Aidiladha di Taman Pelangi, Juru pada 20 Julai lalu.

BUKIT MERTAJAM – Polis Pulau Pinang sedang mengesan kira-kira 200 individu dipercayai warga asing yang bertindak melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mendirikan solat sunat Aidiladha di kawasan pangsapuri Taman Pelangi, Juru hari ini.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada jam 8.30 pagi susulan rata-rata penghuni kawasan sekitar itu mula membanjiri kawasan surau untuk mendirikan solat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan awal mendapati pihak pengurusan surau mengehadkan jumlah jemaah seramai 100 orang sebelum menutup pagar sebaik melihat jemaah mula membanjiri kawasan tersebut.

Mohd Shuhaily.

Jelas beliau, akur dengan sensitiviti agama, pihak surau tidak mengambil sebarang tindakan susulan apabila para jemaah bertindak mendirikan solat di jalan raya dalam keadaan tidak mematuhi penjarakan fizikal.

“Hasil soal siasat awal pihak surau memberitahu insiden itu berlaku secara spontan menyebabkan mereka tidak menghubungi pihak polis.

“Bagaimanapun, kita akan melakukan siasatan bagi mengenal pasti sekiranya berlaku perancangan membawa jemaah ke surau tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah hari ini.

Mohd Shuhaily (kiri) melakukan tinjauan di kawasan Taman Pelangi, Juru di sini hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, siasatan juga mendapati mereka yang melanggar SOP itu terdiri daripada warga asing yang tinggal di kawasan berhampiran.

Kata beliau, berdasarkan rakaman video tular, kira-kira 200 jemaah mendirikan solat sunat Aidiladha ketika itu.

Berdasarkan rekod, Taman Pelangi dihuni seramai 8,000 penduduk menghuni yang mana 70 peratus daripada mereka merupakan warga asing.

“Penduduk Taman Pelangi akan menyaksikan kehadiran pihak polis selepas ini bagi mengesan mereka yang bertindak melanggar SOP untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], kata Mohd Shuhaily.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily turut memohon maaf kepada seluruh penduduk negeri ini atas kegagalan mengesan perkara tersebut dengan lebih awal.

Tangkap layar menunjukkan ratusan warga asing mendirikan solat sunat Aidiladha di Taman Pelangi, Juru hari ini

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 22 saat menunjukkan ratusan individu yang dipercayai warga asing melanggar SOP dengan melakukan solat sunat Aidiladha secara beramai-ramai di Taman Pelangi, Juru.

Berdasarkan video rakaman orang awam itu, rata-rata jemaah dilihat membawa sejadah sendiri dan mendirikan solat secara terbuka di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette