MOSCOW – Rusia mendedahkan prototaip pesawat pejuang stealth baharu ketika Presiden, Vladimir Putin meraikan industri penerbangan negaranya dan pembangunan rekaan pesawat baharu yang kompetitif.

Pesawat itu tidak diberi nama namun ia telah dibangunkan di bawah nama Checkmate didedahkan pada Pameran Penerbangan dan Angkasa Antarabangsa, MAKS-2021, di Zhukovsky.

Pesawat tersebut diletakkan dalam hangar dengan perkataan bahasa Inggeris Checkmate tertera pada pesawat itu dan latar belakang hangar berkenaan.

Pendedahan jet pejuang enjin tunggal baharu dilakukan berikutan tindakan konglomerat pertahanan Rusia, Rostec menyiarkan gambar pesawat yang dilitupi dengan kanvas.

Pada musim bunga lalu, laporan media menyatakan pembuat pesawat, Sukhoi, sedang membangunkan jet pejuang taktikal ringan yang sukar dikesan serta mampu terbang pada kelajuan bunyi.

“Apa yang kita lihat di Zhukovsky jelas menunjukkan industri penerbangan Rusia berpotensi tinggi untuk membangun.

“Industri penerbangan kami juga terus menghasilkan peralatan penerbnagan baharu yang kompetitif,” kata Putin dalam ucapannya pada pameran udara itu seperti dilapor media milik kerajaan.

Baru-baru ini agensi berita, Tass, mencadangkan jet pejuang sederhana ringan itu menjadi pesaing kepada pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat (AS), F-35 yang mana ia rujuk kepada pasaran luar negara.

Adalah tidak jelas bagaimana pesawat Checkmate, yang mana media milik kerajaan Rusia melaporkan ia merupakan pesawat stealth, berkeupayaan membawa muatan persenjataan yang besar selain dilengkapi dengan senjata terkini berbanding dengan jet pejuang generasi kelima AS.

Rusia memiliki beberapa pesawat pejuang generasi keempat namun hanya sebuah jet pejuang generasi kelima, Su-57, yang berkeupayaan membawa muatan persenjataan yang besar.

Jet pejuang baharu itu disebut-sebut sebagai pesawat ringan generasi kelima yang didakwa mempunyai kelajuan maksimum kira-kira 2 Mach (kira-kira 2,414 kilometer sejam) dengan jarak penerbangan sejauh 2896 kilometer selain berupaya membaya muatan seberat 7,257 kilogram, lapor AP yang memetik syarikat di bekalang rekaan baharu itu.

Bilangan juruterbang pesawat tersebut boleh diubah daripada satu kepada dua atau dijadikan operasi tanpa juruterbang, kata pembuat pesawat itu.

Jet pejuang itu direka oleh Sukhoi, sebahagian daripada Rostec, untuk program pesawat taktikal.

Ia dijangka melakukan penerbangan pertama pada 2023 dan beroperasi pada 2026.

Rostec yang mengunjurkan pesawat tersebut berharga antara AS$25 juta hingga AS$30 juta berkata, tentera Rusia dijangka menempah jet pejuang baharu itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast