Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menyarankan kerajaan menganjurkan perbincangan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan Islam dan Melayu mengenai cadangan meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).

Presiden Pemenang, Tan Sri Mohd Yussuf Latiff berkata, menerusi perbincangan dengan NGO tersebut, kerajaan boleh mendapat cadangan dan buah fikiran yang lebih konstruktif dalam usaha mempertingkatkan tadbir urus TH.

Kata beliau, tindakan Kementerian Kewangan meletakkan TH di bawah kawal selia BNM yang diumumkan oleh Menteri Kewangan baru-baru ini adalah sesuatu yang terburu-buru kerana dilakukan tanpa perbincangan dengan wakil-wakil pemegang taruh dan ianya telah mengelirukan umat Islam.

Mohd Yussuf.

“TH bukan sebuah institusi kewangan seperti institusi kewangan lain di negara ini. Matlamat utama TH ditubuhkan pada November 1962 seperti yang dinyatakan dalam Akta Tabung Haji dan TH diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah jelas iaitu ia adalah sebuah agensi Islam yang diberi amanah dan tanggungjawab menyimpan wang bakal jemaah haji dan menguruskan jemaah haji ke tanah suci Mekah.

“Tindakan Kementerian Kewangan meletakan TH dibawah kawal selia Bank Negara adalah dikesali dan mengambarkan seolah-olah kerajaan sendiri tidak begitu faham matlamat utama TH itu dan meletakannya setaraf dengan syarikat kewangan.

“Kementerian Kewangan harus sedar risiko keputusan yang dibuat itu kerana BNM adalah sebuah agensi dibawah Kementerian Kewangan dan apa akan berlaku kepada TH jika Menteri Kewangan dilantik dari kalangan bukan umat Islam yang tidak memahami maqasid kewujudan TH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Yussuf,  Pemenang menyambut baik pengumuman kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan-dakwaan terbabit dan mendapati tidak keperluan untuk meletakan TH dibawah kawal selia BNM.

“Apa yang dikesalkan pengumuman Menteri Kewangan untuk meletakkan TH di bawah kawal selia BNM sebelum RCI adalah sangat tidak wajar.

“Sementara menunggu laporan RCI kerajaan perlu menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen yang dianggotai Ahli Parlimen Muslim bagi memantau keputusan yang dibuat oleh Menteri Agama dalam isu TH adalah telus dan amanah.

“Jawatankuasa itu juga boleh dianggotai oleh wakil dari BNM supaya mendapat pandangan secara langsung dari sebuah institusi bebas,” kata Mohd Yussuf Latiff. – MalaysiaGazette