Timbalan Pengurus Besar SUKE, Ir Dr Zarulazam Eusofe menyampaikan bakul makanan kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar pada Program Sumbangan Bakul Makanan oleh PROLINTAS di Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Foto HAFIZ SOHAIMI, 23 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kebenaran untuk memasuki Palestin khususnya ke Gaza bagi misi bantuan kemanusiaan tertakluk kepada kebenaran Kementerian Luar Negeri Mesir.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kerajaan akan berhubung dengan kedutaan Malaysia di Kaherah serta Kementerian Luar Negeri Mesir dalam usaha memastikan rombongan dari Malaysia dapat memasuki Gaza.

Bagaimanapun katanya, keputusan untuk memberi kebenaran bagi memasuki tempat yang hendak dituju bergantung kepada kerajaan di negara tersebut dan bukan bidang kuasa kerajaan Malaysia.

“Berkaitan rombongan-rombongan yang berhajat untuk ke Palestin khususnya ke Gaza untuk memberi bantuan, kerajaan telah membuat keputusan terhadap kaedah-kaedah untuk mereka ke sana iaitu melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan juga pejabat Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar Negeri.

“Ada jawatankuasa yang dipengerusikan bersama-sama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mana mereka akan mengkaji dan menilai segala permohonan.

“Apabila peringkat itu meluluskan mereka dibenar ke Gaza dan Kementerian Luar Negeri seolah-olah mengambil alih proses itu dan memberi bantuan dengan menghubungi Kementerian Luar Negeri Mesir ataupun kalau mereka nak ke Aman pihak Jerusalem atau Baitumaqdis.

“Kita akan hubungi Kementerian Luar Negeri Jorban untuk memaklumkan bahawa terdapat rombongan daripada Malaysia ke tempat itu,” katanya kepada media di sini hari ini.

Jelas beliau, perkara sama telah dibuat terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew yang memasuki Gaza bagi misi bantuannya baru-baru ini.

Katanya, setakat laporan yang diterima Ebit telah berjaya memasuk Gaza dengan dibantu oleh Wisma Putra yang sentiasa berhubungan dengan Kedutaan Malaysia di Kaherah dan Kementerian Luar Negeri Mesir.

Kamaruddin berkata demikian ketika ditanya dakwaan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kononnya Wisma Putra tidak membantu misi mereka ke Gaza.

Dalam pada itu, Kamarudin memberitahu, untuk memasuki Gaza rombongan-rombongan perlu mendapatkan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) di negara tersebut khususnya Bulan Sabit Merah yang mempunyai status bagi mendapatkan sebarang bantuan diperlukan.

Tambahnya, keputusan untuk mendapatkan barang yang hendak dihulurkan sama ada di Mesir ataupun Gaza adalah keputusan yang dibuat oleh rombongan berkenaan dengan NGO yang berada di sana.

Terdahulu, Kamarudin menerima sumbangan barang keperluan harian daripada Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) untuk diagih-agihkan kepada golongan memerlukan di sekitar Parlimen Bandar Tun Razak.

Sumbangan itu merupakan tanggungjawab sosial koporat (CSR) daripada syarikat berkenaan dalam membantu rakyat yang terjejas terutama ketika negara masih lagi berdepan pandemik Covid-19.

Timbalan Pengurus Besar SUKE, Ir Dr Zarulazam Eusofe

Sementara itu, Timbalan Pengurus PROLINTAS, Ir Md Zarulazam Md Eusofe berkata, pemilihan CSR di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak dibuat berikutan terdapat projek pembangunan dibawah syarikat tersebut melibatkan kawasan berkenaan.

Disebabkan itu katanya, PROLINTAS merasa terpanggil untuk turut serta menghulur bantuan ke kawasan Parlimen berkenaan dalam usaha meringankan beban pihak-pihak yang kurang berkemampuan.

Sebanyak 150 keluarga bakal menerima sumbangan yang diberikan dengan jumlah keseluruhan keperluan bagi setiap penerima iaitu RM100.

Antara barang-barang yang diberikan iaitu beras, minyak masak, kicap, pelitup muka dan lain-lain. – MalaysiaGazette