IPOH – Polis akan membuka siasatan berhubung insiden sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh bagi mengambil pesanan nasi ganja untuk dibawa ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan kes itu dibuka berdasarkan kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) larangan rentas negeri/daerah terhadap individu dan syarikat berkenaan.
“Kita akan buka siasatan berhubung insiden tersebut dan kes disiasat di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkita (PPPPB 2020) Akta 342,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, semakan pihak polis dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh mendapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.
“Helikopter tersebut didapati mendarat di Padang Ipoh pada jam 9.55 hingga 10.15 pagi tadi, namun mereka tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh.
“Kita sudah salurkan info ini kepada pihak CAAM Ipoh,” ujar Mior Faridalathrash.
Terdahulu sebuah helikopter milik syarikat swasta dilaporkan mendarat di Padang Ipoh di sini.
Helikopter yang dinaiki dua lelaki itu dikatakan bertujuan untuk mengambil tempahan nasi kandar dari sebuah restoran popular di bandar raya ini yang dikenali sebagai nasi ganja untuk dibawa ke ibu negara. – MalaysiaGazette