Wan Salim.

GEORGE TOWN – Bagi perspektif Islam, sesiapa yang sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan membabitkan sesuatu perkara ke arah kebaikan adalah berdosa.

Itu tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir warga asing bertindak melanggar prosedur operasi standard (SOP) solat sunat Aidiladha di Taman Pelangi, Juru pada Selasa lalu.

Menurut beliau, menjadi kewajipan ke atas setiap individu yang tinggal dalam negara ini termasuk warga asing untuk mematuhi arahan pihak kerajaan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dilandaikan.

Tangkap layar menunjukkan ratusan warga asing mendirikan solat sunat Aidiladha di Taman Pelangi, Juru pada Selasa lalu.

Wan Salim berkata, pihak kerajaan perlu tegas dalam menguatkuasakan undang-undang sedia ada ke atas sesiapa sahaja yang melanggar SOP ditetapkan demi memelihara ketenteraman negara dan kedaulatan undang-undang.

“Sikap bertolak ansur dalam persoalan ini hanya akan menambahkan lagi kedegilan para pendatang asing itu dan membuka ruang untuk mereka membelakangi undang-undang dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Agama Islam menghendaki semua orang berikhtiar memelihara nyawa sebagai salah satu daripada matlamat yang dikehendaki di dalam syariat.

“Kita harap golongan pekerja asing juga perlu mematuhi sop yang ditetapkan oleh kerajaan untuk keselamatan semua orang yang tinggal di negara ini,” katanya kepada pemberita.

ARTIKEL BERKAITAN :

Polis cari 200 warga asing langgar SOP solat sunat Aidiladha

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, Malaysia antara negara yang membuka ruang dan peluang kepada warga asing untuk datang bekerja mencari rezki di sini dengan mengenakan syarat yang tidak ketat berbanding negara lain.

“Sehubungan itu, mereka perlu mengambil kira perkara tersebut dengan memastikan diri mereka mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kerajaan negara ini demi kesejahteraan bersama,” ujar beliau.

MalaysiaGazette pada Selasa lalu melaporkan, polis Pulau Pinang sedang mengesan kira-kira 200 warga asing yang bertindak solat sunat Aidiladha di pekarangan luar surau hingga ke bahu jalan raya di Taman Pelangi, Juru.

Susulan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain memohon maaf atas kegagalan pasukannya mengesan insiden tersebut lebih awal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast