KOTA TINGGI – Kerajaan Johor memperuntukkan antara RM4.5 juta hingga RM5 juta bagi membantu penduduk di Tanjung Sedili, dekat sini, yang terjejas teruk akibat kejadian ribut petang semalam.
Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, menerusi jumlah itu kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5,000 hingga RM15,000 untuk setiap keluarga berdasarkan kerosakan harta benda termasuk rumah mereka.
“Peruntukkan RM4.5 juta hingga RM5 juta akan disediakan oleh kerajaan negeri untuk membantu mereka yang terjejas dengan bencana ribut yang berlaku semalam.
“Sekolah, balai polis, klinik juga ada terjejas, kita belum ada angka lagi tapi agensi yang terlibat sedang membuat anggaran kerosakan untuk bangunan yang terlibat,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat mangsa-mangsa ribut di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili, di sini, hari ini.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, untuk permulaan setiap keluarga akan menerima bantuan wang tunai RM1,000 dari kerajaan negeri.
Manakala, RM400 dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan bakul makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
“Selain daripada bantuan makanan, kita tahu dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara ini, kita akan ambil masa panjang untuk baiki rumah terjejas, jadi kita akan kenal pasti tempat sementara bagi mereka yang memerlukan seperti rumah inap sementara tunggu rumah mereka dibaiki,” kata beliau.
Turut hadir Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama Rosleli Jahari dan ADUN Sedili Rasman Ithnain.
Hujan lebat bermula kira-kira pukul 3 petang, yang disusuli ribut dan angin kencang semalaam, menyebabkan 291 rumah dan beberapa bangunan kerajaan mengalami kerosakan dan lebih 20 pokok tumbang.
Sebanyak tujuh kampung terjejas dalam kejadian ribut semalam, antaranya, Kampung Teluk Jari Luar, Kampung Teluk Jari Dalam, Tanah Putih dan Kampung Sri Gading. – MalaysiaGazette