Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan sewajarnya melantik pakar-pakar yang tidak mempunyai hubungan politik dan tidak terkait dengan legasi kerajaan sebelum ini dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pakar-pakar bidang yang berkenaan di dalam MPN ini bukan sahaja perlu memiliki latar belakang profesional tetapi juga mempunyai keberanian untuk bercakap benar kepada pemerintah.

Salah seorangnya, ialah Tan Sri Rafidah Aziz kerana beliau yang tidak takut untuk bercakap benar kepada mereka yang berkuasa.

Guan Eng menambah, pelantikan bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar dalam MPN sebagai tidak sesuai kerana perlu duduk bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Ini kerana Azmin paling agresif menyerang pengurusan Azman semasa di Khazanah, malah Azmin mendedahkan di Parlimen pada 2018 bahawa Khazanah kerugian AS$ 20 juta dalam perniagaan peruncitan pakaian dalam di India dan pelaburan RM3 billon melalui ekuiti persendirian untuk mengambil alih bank telah bankrap.

”Sekiranya Azman Mokhtar sekarang dilantik, bukankah ini merupakan tamparan memalukan kepada Azmin yang tidak seharusnya duduk di dalam MPN jika dia seorang yang bermaruah?,” soal beliau.

Beliau juga mempersoalkan pelantikan Datuk Wong Chun Wai, Penasihat dan bekas Ketua Pengarang The Star, yang dimiliki oleh MCA.

Katanya, Chun Wai secara semula jadinya adalah jurucakap bagi MCA tetapi dia juga secara agresif mempromosikan Jho Low yang terkenal dengan reputasi di sebalik 1MDB ketika menemubual dan menerbitkan artikel berkenaan Jho Low di dalam The Star pada 29 Julai 2010.

Oleh itu, DAP mencadangkan agar Tan Sri Yong Poh Kon, Pengerusi Royal Selangor Pewter, dengan latar belakang dan kepakaran yang terbukti, menggantikan Chun Wai.

Pakar-pakar bidang berkenaan lain yang perlu dipertimbangkan untuk MPN adalah pakar ekonomi terkemuka, Dr Jomo Kwame Sundaram, dengan penekanan terhadap orang miskin dan yang kurang bernasib baik daripada segi sosial.

Selain itu, pakar bedah kardiotorasik terkenal Tan Sri Yahya Awang, agar dapat menawarkan perspektif perubatan yang berbeza mengenai jalan keluar daripada krisis kesihatan sekarang. – MalaysiaGazette