Ahmad Tarmizi Sulaiman.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen boleh berbahas pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung esok selama lima hari sehingga 2 Ogos ini.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman daripada Kerajaan Perikatan Nasional berkata, perkara itu boleh dibaca pada Aturan Mesyuarat yang membenarkan perbahasan dibuat.

Beliau berkata, ahli-ahli Parlimen boleh bersiap sedia untuk berbahas dalam tempoh waktu yang ditetapkan.

“Esok kita tunggu siapa yang betul, ada perbahasan di kalangan ahli Parlimen.

“Peraturan dibuat dalam Aturan Mesyuarat, esok kita boleh berbahas, sangat jelas. Yang Berhormat  Johari dan Rayer boleh bersedia untuk berbahas dalam berapa minit,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila muncul sebagai panel pada program SKOP MG terbitan MalaysiaGazette yang bertajuk Sidang Khas Parlimen : Untuk Apa? di sini malam ini.

Panel lain adalah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul,  Ahli Parlimen Jelutong, S N Rayer dan Penganalis Politik, Dr. Syed Agil Syed Alsagoff yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Putra Malaysia.

Ahmad Tarmizi menambah, Persidangan khas Parlimen adalah mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Peraturan 11 (3) yang ditetapkan Perdana Menteri bagi faedah kepada orang ramai.

Menurut beliau, atas ruang dan keadaan pada hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengambil keputusan di samping titah Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan persidangan Parlimen.

“Jadi jadual mesyuarat sangat jelas dan inilah demokrasi yang dijunjung oleh kerajaan hari ini dan kita memberi ruang kepada semua ahli Parlimen untuk hadir di mana terdapat perbahasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh Perdana Menteri, ia diikuti sesi sama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Selasa yang akan menerangkan tindakan negara menangani pandemik COVID-19.

“Kemudian, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pula akan memberi penerangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan manakala Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Khamis,” katanya.

Sementara itu, Johari dalam hujah berkata, persidangan khas Parlimen kali ini tetap tidak membenarkan perbahasan berdasarkan Aturan Mesyuarat Para Kelima.

Jelas beliau, sidang hanya membenarkan ahli-ahli parlimen untuk meminta penjelasan dan memberi pandangan daripada menteri-menteri sahaja.

“Saya baca Aturan Mesyuarat Para Kelima di mana Yang Di-Pertua Dewan Rakyat telah membenarkan ahli-ahli parlimen untuk meminta penjelasan dan memberi pandangan daripada menteri-memteri seperti penggal lepas.

“Maknanya kita dibenarkan memberi penjelasan dan diminta pandangan. Kalau diminta berbahas, itu baru pentas kita.

“Jika kita akan bangkit bertanya dan berbahas dalam 10 hingga 20 minit, itu baru dipanggil perbahasan.

“Tapi kalau diminta penjelasan, ia mungkin dua hingga tingga minit, itu bukan pentas kita. Itu dipanggil Aturan Mesyurat bukan para 15 tapi dipanggil Aturaan Mesyuarat Para11,” katanya. – MalaysiaGazette