Petugas Kesihatan mengendalikan antara 10 jenazah pesakit Covid-19 yang akan dikebumikan sekali gus ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Jumlah pesakit Covid-19 meninggal dunia hari ini menurum kepada 92 kes yang melibatkan 90 warga negara Malaysia manakala dua lagi warga asing.

Jumlah itu berkurangan berbanding semalam yang mencatat 184 kematian dengan 157 warga negara dan 27 warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kes kematian hari ini, sebanyak 27 kes dilaporkan di Selangor, Johor (23), Kuala Lumpur (12), Negeri Sembilan (11), Melaka (lima), Kedah (empat) dan Pahang adalah tiga kes.

Menurut beliau, kes lain masing-masing membabitkan dua kes di Sabah dan Sarawak, manakala satu kes masing-masing di Perak, Terengganu dan Labuan.

“Terdapat 9,683 kes sembuh dilaporkan menjadikan angka kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 ialah 844,541 kes.

“Jumlah kes baharu yang dilaporkan itu sekaligus menjadi angka tertinggi pernah dicatatkan di negara ini sejak penularan virus berkenaan di Malaysia, pada Februari tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengesan 34 kluster baharu iaitu 18 kluster membabitkan tempat kerja, 15 dalam kalangan komuniti serta satu dalam kumpulan berisiko tinggi.

Negara hari ini merekodkan 17,045 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini mencecah 1,013,438 kes.

Selangor masih kekal tertinggi kes Covid-19 di negara ini dengan 8,500 kes menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negeri itu berjumlah 367,469 kes.

Ia disusuli Kuala Lumpur sebagai negeri kedua tertinggi sebanyak 2,045 kes. – MalaysiaGazette