Soffian.

GEORGE TOWN – Polis akan melakukan pemantauan di Hospital Pulau Pinang (HPP)  susulan doktor berstatus kontrak dijangka melakukan mogok esok.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemantauan akan dilakukan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan lain berlaku.

“Pihak polis akan buat pemantauan esok di HPP,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Artikel berkaitan: Khidmat doktor kontrak dilanjut dua tahun, kemudahan dan faedah ditambah baik

Terdahulu media tempatan melaporkan, mogok doktor kontrak akan diteruskan esok di hospital dan klinik kesihatan seluruh negara selepas kerajaan didakwa gagal memenuhi beberapa tuntutan kumpulan doktor kontrak dalam perkhidmatan awam.

Wakil gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Umar Barakah berkata, dianggarkan seramai 4,000 doktor akan menyertai mogok tersebut.

Mereka akan memulakan kerja pada waktu pagi sebelum melaksanakan walk-out pada jam 11 pagi.

“Kita nak tunjuk yang jumlah kita ini ramai, dan kalau kita tiada, sistem kesihatan akan lumpuh,” katanya beliau.

Tindakan itu diputuskan selepas tawaran kerajaan untuk melanjutkan kontrak mereka selama dua tahun didakwa tidak memenuhi tuntutan gerakan tersebut. – MalaysiaGazette