Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak akan ditawarkan pelantikan secara kontrak (contract of service) untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan Kabinet itu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Katanya, Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Langkah itu, katanya, bagi memastikan pegawai-pegawai yang berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing.

“Kerajaan amat memahami tuntutan kumpulan petugas kesihatan berstatus kontrak ini dan sedar bahawa sumbangan dan peranan mereka sebagai barisan hadapan adalah amat penting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19.

“Bagi memastikan perkara ini diberikan perhatian penuh dan ditangani secara menyeluruh serta lebih berkesan, saya telah mengarahkan KKM dan kementerian serta agensi yang berkaitan merangka sebuah pelan komprehensif dan inklusif merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek sederhana dan pelan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, Kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah yang dihadapi kumpulan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

Bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, Kabinet bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

Antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

Menurut Perdana Menteri, keputusan-keputusan itu juga akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.

“Kerajaaan amat menghargai sumbangan para doktor sebagai barisan hadapan dalam berhadapan perang COVID-19 dan Kerajaan akan terus komited untuk memastikan kebajikan dan laluan kerjaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak diberikan perhatian sewajarnya serta bersifat adil,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentangkan satu kertas cadangan kepada Mesyuarat Kabinet pada 14 Julai 2021 berhubung penambahbaikan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak. – MalaysiaGazette