Sebahagian penagih tegar yang diberkas polis susulan melarikan diri menaiki bot nelayan di Jeti Nelayan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.

TELUK KUMBAR – Terjun laut sebelum meloloskan diri menaiki bot bagi mengelak diberkas polis.

Itu tindakan sekumpulan nelayan yang dipercayai penagih dadah sebaik melihat kehadiran sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di Jeti Nelayan Gertak Sanggul di sini hari ini.

Khidmat polis Marin digunakan untuk memintas bot nelayan yang cuba melarikan diri dalam Ops Sarang.

Bagaimanapun, tindakan mereka berjaya dipatahkan dengan bantuan polis Marin selepas mengejar bot tersebut sebelum mengarahkan mereka berpatah balik ke pesisiran pantai.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, Ops Sarang bermula jam 8 pagi hingga 1 petang itu dilakukan bertindak atas aduan dan risikan berhubung kegiatan penagihan dadah di kawasan tersebut.

Kamarul Rizal.

Jelas beliau, dalam serbuan itu seramai 29 lelaki tempatan berusia lingkungan 20an hingga 60an.

“Ketika serbuan dilakukan ada sekumpulan nelayan bertindak melarikan diri menaiki sebuah bot yang dibawa oleh seorang tekong tempatan.

“Namun dengan bantuan polis Marin kita berjaya pintas bot nelayan itu sebelum membawa mereka ke kawasan pesisiran pantai.

Tekong tempatan yang melarikan diri menggunakan bot berjaya diberkas polis.

“Bantuan polis Marin diperlukan memandangkan kita akan berdepan dengan situasi penagih melarikan diri dengan menaiki bot elak diberkas polis,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Bayan Baru di sini hari ini.

Khidmat polis Marin digunakan untuk memintas bot nelayan yang cuba melarikan diri daripada dicekup polis menerusi Ops Sarang.

Turut serta dalam operasi tersebut Pangkalan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban serta sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Tambah beliau, rata-rata mereka yang ditahan itu terdiri daripada penagih tegar.

Kamarul Rizal menunjukkan dadah yang ditemui di kawasan jeti nelayan tersebut.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas dadah jenis heroin yang dipercayai untuk kegunaan mereka.

Seramai 29 nelayan yang dipercayai terlibat dalam kancah penagihan dadah diberkas di Jeti Nelayan Gertak Sanggul di sini hari ini.

“Operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan penagihan dadah khususnya di kawasan tertentu dapat dibanteras,” kata Kamarul Rizal. – MalaysiaGazette