Orang ramai menunggu giliran pada Program Vaksinasi melalui Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR)Muhibbah, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 07 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan mempelbagaikan portfolio vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), berjaya mempertingkatkan kadar vaksinasi negara hingga menjadikan Malaysia antara terpantas di dunia.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin, kadar vaksinasi negara adalah tinggi berbanding Korea Selatan, Australia serta negara-negara jiran lain.

Katanya, jumlah pemberian vaksin tertinggi yang direkodkan adalah 507,050 dos suntikan pada Khamis lalu.

“Dulu semua kata Malaysia lambat sertai COVAX kononnya yang terbaik dan dikendalikan WHO. Jadi kita pun jual menerusi COVAX sebanyak 10 peratus daripada populasi kita dan beli daripada mereka.

“Setakat hari ini, yang dihantar melalui COVAX sebanyak 828,00 dos sahaja daripada 6.4 juta dos yang kita harap daripada COVAX.

“Bagi mereka yang dulu kata kenapa tidak masuk COVAX, kalau letak semua portfolio vaksin kita dengan mereka, habislah kita,” katanya.

Bagi menjayakan PICK, Malaysia telah membuat perolehan vaksin untuk 124.3 peratus populasi negara dan sejumlah besar portfolio vaksin ialah jenis Pfizer-BioNTech manakala selebihnya Sinovac, AstraZeneca dan CanSino.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan keputusan kerajaan lewat menyertai pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, COVAX adalah tepat.

Ini kerana penghantaran vaksin menerusi badan yang diterajui bersama ‘The Global Alliance for Vaccine and Immunisation’ (GAVI), ‘Coalition for Epidemic Preparedness Innovations’ dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu begitu perlahan.

Sementara itu, Khairy berkata, penjualan vaksin untuk pasaran swasta akan mempercepatkan lagi PICK untuk mencapai sasaran kelompok imuniti di negara ini.

Katanya, kerajaan tidak boleh menghalang pasaran swasta sekiranya terdapat syarikat yang ingin membeli vaksin.

Beliau menegaskan, kerajaan mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi namun orang ramai perlu menunggu mengikut jenis dan penghantarannya pada setiap minggu.

“Saya tahu bekas Menteri MITI (Tan Sri Rafidah Aziz) ada bercakap tidak cukupkah  bekalan vaksin yang dibeli kerajaan? Sebenarnya, kita beli cukup iaitu 125 peratus daripada populasi.

“Cuma vaksin datang ikut jadual penghantaran sebab itu bila ada pasaran swasta, yang tidak boleh tunggu itu, boleh kita tawarkan.

“Namun garis panduan akan ditetapkan oleh JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin) iaitu dari segi kaedah dan juga harga siling,” katanya pada sidang media khas secara maya.

Baru-baru ini, Tan Sri Rafidah Aziz mendesak kerajaan menjelaskan keputusan untuk membenarkan penjualan 14 juta dos Sinovac kepada syarikat swasta.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, rakyat tidak sepatutnya membayar untuk sesuatu “yang sepatutnya percuma”.

“Bukankah memvaksin populasi satu perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada rakyat?”

“Bukankah vaksinasi keseluruhan populasi telahpun dihitungkan? Bukankah semua keperluannya dikira dan dirancang, untuk diberikan secara percuma kepada rakyat?” soalnya dalam hantaran di Facebook.

Rafidah berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa Pharmaniaga Bhd akan menjual vaksin itu kepada negeri dan syarikat swasta yang berminat mulai bulan ini sehingga September depan.

Syarikat farmaseutikal itu diberi lampu hijau untuk berbuat demikian oleh JKJAV.

– MalaysiaGazette