JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Aston Martin Racing Asia hari ini mengumumkan kerjasama mengukuhkan lagi jenama kelab bola sepak itu sebagai peneraju di Asia Tenggara.
Kerjasama itu menyaksikan Aston Martin mengeluarkan rekaan edisi terhad bertema JDT untuk rangkaian kereta yang akan dijual oleh kelab.
“Kerjasama dengan syarikat permotoran British ini bukan sahaja memberikan nilai kewangan kepada JDT, tetapi juga membuka peluang kepada JDT, Johor dan Aston Martin Racing bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk tahun-tahun yang akan datang,” kata JDT menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, kerjasama ini juga boleh digambarkan sebagai kerjasama antara juara dalam bidang masing-masing dengan JDT selaku juara Liga Super tujuh kali berturut-turut manakala Aston Martin pula adalah juara perlumbaan Le Mans Endurance 2020.
JDT adalah juara di padang dengan kejayaan yang konsisten dan mendominasi tajuk-tajuk berita di luar padang dengan infrastruktur berkelas dunia, kekuatan jenama serta hubungan dengan kelab terkemuka antarabangsa, individu, organisasi dan entiti perniagaan, ujarnya.
Tambah kenyataan itu, Aston Martin Racing pula merupakan salah satu jenama antarabangsa yang bekerjasama dengan Harimau Selatan.
Antara jenama terkemuka antarabangsa lain yang menjadi penaja dan rakan strategik JDT termasuk UNICEF, Nike, Hublot, Subway, F&N dan SWAG EV.
Kerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa ini juga menunjukkan peningkatan jenama kelab yang hebat dan kukuh sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa, kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette